SATU letupan bom menggegarkan sebuah bangunan ibu pejabat rangkaian televisyen dan radio swasta di Athens, Greece hari ini.
Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu yang berlaku di syarikat Skai.
Polis berkata bom buatan sendiri itu meletup kira-kira pukul 2.30 pagi waktu tempatan, 45 minit selepas satu panggilan tidak dikenali memberi amaran tentang ancaman serangan bom.
Polis menutup kawasan kejadian dan mengarahkan semua staf Skai untuk keluar bagi memberi laluan siasatan lanjut dijalankan.
Polis berkata bom itu dipasang di lokasi berdekatan pagar bangunan itu dan letupannya menyebabkan tingkap pintu utama pecah.
Menteri perlindungan awam Olga Gerovassili turut melawat lokasi kejadian dan memberi amaran pihak yang bertanggungjawab akan membuka jalan kepada ancaman keganasan.
“Demokrasi tidak akan terancam,” katanya.
Polis antikeganasan menyiasat kejadian itu dan tidak menolak kemungkinan penglibatan kumpulan pelampau Greek.
Serangan ke atas syarikat penyiaran, syarikat awam dan kedutaan sering berlaku di Greece sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Serangan itu dipercayai didalangi oleh kumpulan anarki atau berhaluan kiri.
Bulan lalu, sebutir bom dimatikan di luar rumah seorang pendakwa raya kontroversi di Athens. – AFP, 17 Disember, 2018.
Komen