SATU-satunya ahli Parlimen dari Umno dan empat Adunnya berikrar akan terus setia kepada parti, kata Pengerusi Badan Perhubungan negeri, Ismail Sabri Yaakob hari ini.
Ismail Sabri berkata demikian susulan pegumuman Ahli Parlimen Sabak Bernam Fasiah Mohd Fakeh keluar parti minggu lepas. Fasiah mengikut jejeka lima ahli Parlimen termasuk bekas menteri Hamzah Zainudin yang bertindak keluar parti untuk menjadi wakil rakyat Bebas.
“Tiada lagi lompat parti dalam Umno Selangor. Empat Adun akan kekal dalam dalma parti dan kita akan terus jadi pembangkang yang berkesan dalam negeri,” kata beliau di ibu pejabat Umno Selangor di Shah Alam hari ini.
“Keempat-empat Adun akan terus kekal sebagai anggota Umno dan akan terus setia kepada parti.”
Beliau juga melahirkan rasa kecewa dengan Fasiah, yang sebelum ini menafikan bercadang mahu keluar dari Umno.
Ismail Sabri yang juga ahli Parlimen Bera, mengingatkan Fasiah bahawa kerusi Sabak Bernam dimenangi atas usaha keras ahli-ahli Umno.
“Saya kecewa dengan Fasiah. Kita ada bercakap dengan beliau Jumaat lepas, sebelum pengumuman tersebut, dan beliau beritahu tiada kaitan dengan wakil rakyat keluar beramai-ramai.
“Beliau nafi tahu gerakan untuk keluar Umno. Tetapi akhirnya, beliau keluar bersama lima wkail rakyat lain. Beliau menang (pada PRU14) kerana ahli Umno, juga kerana pengundi yang pilih beliau. Umno bekerja keras untuk pastikan beliau menang.”
Fasiah keluar Umno bersama Hamzah (Larut), Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Rosol Wahid (Hulu Terengganu) Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing) dan Shahbudin Yahya (Tasik Gelugor). – 17 Disember, 2018.
Komen