Dr Mahathir pertahan setiausaha politiknya


Noel Achariam

Tuduhan tak bermakna beliau bersalah, kata Dr Mahathir Mohamad mengenai setiausaha politiknya, Muhammad Zahid Md Arip yang disebut dalam pertuduhan kes rasuah bekas pengerusi Felda Mohd Isa Samad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 17 Disember, 2018.

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini mempertahankan setiausaha politiknya, Muhammad Zahid Md Arip yang disebut dalam pertuduhan kes rasuah bekas pengerusi Felda Mohd Isa Samad.

“Tuduhan tak bermakna beliau bersalah.

“Tuduhan dibuat atas dasar apa yang diperolehi (bukti).

“Kita kena tunggu sehingga beliau dibicarakan. Jika dibicarakan dan didapati bersalah, maka kita kena akui yang beliau bersalah. Tetapi ini cuma tuduhan,” kata perdana menteri di Cyberjaya hari ini.

Zahid adalah bekas pegawai khas Isa di Felda sebelum dilantik sebagai setiausaha politik Dr Mahathir pada 30 Mei selepas Pilihan Raya umum Ke-14 (PRU14).

Pada Ogos 2017, Zahid yang merupakan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu direman bagi membantu siasatan ke atas Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching.

Menurut kertas pertuduhan, Zahid dikatakan jadi orang tengah antara Isa dan Ikhwan Zaidel, pengarah Gagasan Abadi Properties Sdn Bhd, syarikat pemilik hotel berkenaan yang didakwa menyogok bekas pengerusi Felda itu.

Rasuah yang didakwa disogok antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015 itu bertujuan memudahkan urusan jual beli hotel berkenaan.

Minggu lepas, beliau enggan mengulas mengenai pertuduhan di mahkamah terhadap Isa yang turut mengaitkan dirinya.

“Saya tidak boleh komen apa-apa kerana isu ini sudah di bawa ke mahkamah. 

“Sejak dipanggil oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) pada Ogos tahun lepas, saya tidak tahu perkembangan apa-apa. Itu kali terakhir,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight. – 17 Disember, 2018.

 


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen