JAS dapati tiada pencemaran di kilang Sungai Lembu


Looi Sue-Chern

Phee Boon Poh (tengah) bersama Lim Guan Eng (kanan) di Komtar semalam. Phee meminta Lim mendedahkan minit mesyuarat kepada media berhubung kilang haram di Sungai Lembu. – Gambar The Malaysian Insight, 22 Ogos, 2017.

KILANG penapis karbon yang didakwa beroperasi secara haram di Sungai Lembu – yang kini dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia - tidak menyebabkan punca pencemaran pada 2015, kata Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang.

Perkara itu didedahkan dalam minit mesyuarat pada 6 Mei 2015 Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) berhubung isu kilang di Bandar Perda.

Wakil JAS berkata mereka tidak menemui sebarang punca pencemaran di kilang terbabit ketika menjalankan lawatan kerana terdapat pengadang di atas lubang yang menyekat asap dan habuk.

Pegawai terbabit berkata, isu yang dihadapi kilang itu adalah ia beroperasi tanpa lesen di tanah ladang kelapa sawit.

“Jabatan boleh menyokong operasi kilang terbabit sekiranya aktiviti pembakaran habuk kayu dibuat secara tertutup dan menggunakan peralatan keselamatan yang baik. Syarat kawalan alam sekitar ini sudah dimaklumkan kepada pemilik.

“Pemilik juga perlu mendapatkan lesen daripada MPSP. JAS akan melihat kaitan lain seperti operasi kilang dan juga kesesuaian lokasinya,” kata oegawai terbabit menurut minit berkenaan.

Turut dinyatakan pemilik kilang berkenaan perlu memohon pertukaran status tanah daripada pertanian kepada industri untuk beroperasi secara sah.

Minit mesyuarat itu didedahkan kerajaan negeri hari ini untuk menunjukkan exco alam sekitarnya Phee Bon Poh yang sedang dalam siasatan SPRM, telah menjalankan tugasnya.

Phee berkata, dia meminta untuk mengadakan mesyuarat dengan pelbagai pihak berkuasa bagi membincangkan masalah kilang haram, yang menimbulkan rungutan penduduk setempat.

Dia turut mengakui menerima rayuan daripada pemilik kilang sebelum mesyuarat itu diadakan.

Ketika membacakan minit tu, Phee berkata kilang itu pernah beroperasi dengan lesen di Alma sebelum berpindah ke Sungai Lembu. Namun pemiliknya tidak memohon lesen baharu daripada pihak majlis selepas berpindah.

“Lokasi kilang itu melebihi 500 meter daripada bangunan kediaman. Saya juga menyatakan pada mesyuarat itu yang siasatan perlu dilakukan untuk memeriksa sama ada kilang terbabit mencemarkan alam sekitar atau tidak.

“Saya turut meminta satu pemeriksaan untuk memastikan sama ada dakwaan penduduk yang mereka sakit akibat kilang itu benar atau sebaliknya.

Phee berkata dia turut meminta kilang itu diletakkan di bawah program pngesahan bagi memastikan perniagaan mereka menggunakan langkah mesra alam.

Selain Phee, mesyuarat itu turut dihadiri Adun Penanti Dr Norlela Ariffin, yang menerima aduan daripada penduduk di kawasannya berhubung kilang berkenaan, setiausaha majlis (kini presiden majlis) Rozali Mohamud, beberapa pegawai lain.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata pendedahan minit mesyuarat itu kepada media adalah atas permintaan Phee.  – 22 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen