Umno Selangor akan bincang kedudukan Zahid


Alfian Z.M. Tahir

Umno Selangor akan berbincang sebaik sahaja semua pemimpin negeri yang sedang mengerjakan umrah atau melancong pulang, kata Ketua Perhubungan Ismail Sabri. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 17 Disember, 2018.

UMNO Selangor akan membincangkan pendiriannya mengenai kedudukan Presiden Ahmad Zahid Hamidi yang kini berdepan tekanan pemimpin negeri untuk berundur, kata Ketua Perhubungan Ismail Sabri.

“Kita tak boleh bincang sekarang sebab ramai pemimpin Selangor sedang buat umrah atau bercuti. Sebaik mereka balik, kami akan bermesyuarat, itu pasti,” katanya yang juga naib presiden Umno pada sidang media hari ini.

Beliau mengesahkan kepimpinan parti setia kepada Umno tetapi bersetuju yang status presiden perlu dibincangkan.

“Setakat ini masih tidak ada keputusan. Kami masih bersama Umno. Mengenai presiden pula, kami akan bincang dalam mesyuarat.”

Ketua Pemuda Alor Setar dan Ampangb sudah secara terbuka menggesa Zahid berundur kerana kepimpinan yang lemah dan cubaan membentuk pakatan dengan parti Pakatan Harapan.

Timbalan Ketua Perhubungan Umno Selangor Mat Nadzari Ahmad Dahlan semalam berkata kepimpinan negeri tidak akan menghalang bahagian negeri untuk mengusulkan cadangan supaya Zahid berundur.

Ismail juga mengulas desakan dibuat Ketua Bahagian Umno Sungai Besar Jamal Yunos, berkata parti itu terbuka kepada kritikan ahlinya.

“Kita amal demokrasi. Sesiapa sahaja boleh berkata apa sahaja. Tetapi kita akan putuskan dalam mesyuarat. Jamal atau sesiapa sahaja boleh luahkan rasa tak puas hati mereka.

Antara tokoh Umno lain yang meluahkan sokongan supaya Zahid berundur termasuklah Naib Presiden Khaled Nordin yang berkata presiden boleh disingkirkan jika bahagian meminta perhimpunan agung khas diadakan.

Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin juga secara terbuka menggesa Zahid berundur.

Zahid bagaimanapun berkata hanya perwakilan pada perhimpunan agung boleh mendesaknya berundur. – 17 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen