ANAK sulung Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, Yair, menulis di Twitter semalam yang Facebook menyekat akaunya selama 24 jam selepas beliau memuatnaik catatan anti Islam, menyifatkan gergasi media sosial itu “diktator”.
Dalam catatan di Facebook pada Khamis selepas serangan maut dilakukan Palestin, Yair Netanyahu menggesa “semua orang Islam meninggalkan” Israel.
“Tahukah anda di mana tiada serangan? Di Iceland dan Jepun yang kebetulan tiada orang Islam,” katanya.
Dalam satu lagi catatan, beliau menulis hanya ada dua penyelesaian untuk keamanan, sama ada “semua Yahudi meninggalkan (Israel) atau semua orang Islam keluar”.
“Saya pilih pilihan kedua,” tambahnya.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas dua askar ditembak mati pada Khamis di sebuah stesyen bas di tengah Tebing Barat.
Pada hari sama, seorang bayi tidak cukup bulan dilahirkan tetapi meninggal selepas ibunya ditembak dalam serangan berasingan pada 9 Disember.
Facebook memadam catatan Yair, menyebabkan beliau berpindah ke Twitter dan mengecam gergasi media sosial itu, menyifatkannya mengamalkan “kediktatoran pemikiran”.
Pengkritik Netanyahu mengecam Yair yang dianggap mereka hanyalah lelaki dewasa yang masih tinggal di kediaman perdana menteri tanpa tugas rasmi dan menerima manfaat pengawal dan pemandu peribadi dan faedah lain.
Mereka mendakwa lelaki berusia 27 tahun itu sedang dipersiapkan kedua ibu bapanya untuk mewarisi kuasa seterusnya membentuk dinasti politik di Israel. – AFP, 17 Disember, 2018.
Komen