Rakyat Poland didakwa sokong pemberontak Papua, Indonesia


Jakub Fabian Skrzypski ditahan pada Ogos lalu kerana didakwa berhasrat merakamkan urusniaga senjata api antara pemberontak Papua, salah sebuah wilayah dalam Indonesia, kata pendakwa raya. – Gambar AFP, 17 Disember, 2018.

SEORANG lelaki Poland berdepan hukuman penjara 15 tahun jika disabitkan bersalah kerana hubungannya dengan gerakan pemisah Papua dijadualkan dihadapkan ke mahkamah hari ini, kata seorang pegawai Indonesia.

Jakub Fabian Skrzypski ditahan pada Ogos lalu kerana didakwa berhasrat merakamkan urusniaga senjata api antara pemberontak Papua, salah sebuah wilayah dalam Indonesia, kata pendakwa raya.

Perbicaraan itu akan diadakan di Wamena di mana Skrzypski kini ditahan, kata pendakwa raya bandar Ricarda Arsenius.

“Pendakwaan akan dibaca pada Isnin,” kata Arsenius kepada AFP menambah yang Skrzypski berada dalam keadaan sihat.

Polis berkata mereka merampas lebih 130 peluru dan dokumen menjelaskan pergelutan Pergerakan Bebaskan Papua daripada Skrzypski dan tiga rakyat Indonesia.

Peguam Skrzypski, Latifah Anum berkata warga Poland itu yang tinggal di Switzerland sebelum ditahan menafikan berbuat salah.

“Kami tunggu dan lihat pertuduhan pendakwa raya. Kami bersedia menghantar bukti untuk menafikan dakwaan,” kata Latifah kepada AFP.

Dalam sepucuk surat dihantar kepada akhbar Switzerland, Le Temps pada September, Skrzypski berkata beliau hanyalah pelancong di Papua.

“Mereka (pendakwa raya) bercerita tentang peluru, tetapi saya tak pernah nampak atau milikinya.

“Mereka cuba menuduh saya melakukan cubaan rampasan kuasa, tetapi yang saya buat hanyalah berjumpa beberapa penduduk Papua yang tidak bersenjata,” katanya dalam surat itu.

Papua, bekas jajahan Belanda mengisytiharkan kemerdekaan pada 1961, tetapi jirannya Indonesia menakluknya dua tahun selepas itu dengan syarat ia mengadakan referendum kemerdekaan.

Hampir 1,000 rakyat Papua yang dipilih sebulat suara menyokong referendum PBB untuk menjadi sebahagian daripada Indonesia, kejadian yang dianggap banyak pihak satu penipuan.

Kawasan itu, salah sebuah kawasan Indonesia paling miskin berdepan banyak serangan ke atas orang awam, terbaru pada awal bulan ini.

Sekurang-kurangnya 16 pekerja syarikat milik kerajaan yang sedang membina jambatan dalam projek pembangunan infrastruktur untuk memajukan kawasan itu dibunuh pemberontak pemisah pada awal Disember.

Tentera Pembebasan Nasional Papua Barat (TPNPB) mengaku bertanggungjawab ke atas pembunuhan itu, menyifatkan pekerja sebagai sasaran sah kerana terlibat dalam projek yang mereka anggap dikawal tentera.

Sekurang-kurangnya empat pekerja masih hilang, seorang tentera juga dibunuh pemberontak, kata pihak berkuasa. – AFP, 17 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen