RATUSAN penduduk kampung melarikan diri selepas militan Boko Haram membakar rumah mereka di bandar Maiduguri, tenggara Nigeria semalam.
Militan Boko Haram datang dalam beberapa trak menyerbu kampung Maiborti kira-kira 5km di luar Maiduguri, melakukan tembakan rawak dan membakar rumah, kata mereka.
Seorang pegawai tentera berkata pasukan tentera dan jet pejuang dihantar ke kampung itu dan menghalau militan itu keluar selepas pertarungan sengit.
Masih tidak jelas berapa kematian dalam serangan itu yang sekali lagi membayangkan situasi keselamatan yang rapuh di wilayah itu.
“Boko Haram datang kira-kira jam 5.30 petang (waktu tempatan) dan mula menembang di kampung itu menyebabkan kami meninggalkan rumah dan lari ke Maiduguri,” kata Abacha Kaka yang tinggal di Maiborti.
Pemimpin militan Babakura Kolo berkata pejuang kemudian dipaksa keluar dari kampung itu oleh askar dengan bantuan tentera udara.
Boko Haram sejak beberapa bulan terakhir ini melancarkan serangan untuk menawan Maiduguri, tempat kelahiran pengasasnya Mohammed Yusuf.
Bulan lalu, militan itu menyerang kampung Jimmi, di luar bandar itu menyebabkan seorang terbunuh dan mereka mencuri haiwan ternakan penduduk kampung.
Pemberontakan Boko Haram selama sembilan tahun ini menyebabkan sekurang-kurangnya 27,000 terbunuh dan menyebabkan lebih dua juta orang hilang tempat tinggal. – AFP, 17 Disember, 2018.
Komen