MELETAKKAN naratif baharu dalam tatacara berpolitik di Malaysia menjadikan Amanah tidak lagi melihat PAS yang merupakan parti asal mereka sebagai pesaing.
Sebaliknya, parti komponen kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu merasakan tiada keperluan untuk mereka menyertai kumpulan politik berpaksikan kaum dan agama kerana ia bersifat sementara dalam usaha menarik sokongan pengundi.
“Kita nak bersaing dengan naratif yang baharu, kita tidak lagi mahu sentimen kaum dan agama. Sudah 60 tahun kita bergelumang dengannya, kami baru tiga tahun, jadi kami bawa naratif baharu.
“Saya boleh jadi macam mereka tapi saya tidak mahu jadi seperti mereka. Saya boleh jadi lebih Melayu dan Islam daripada mereka kalau nak tarik sokongan, tetapi adakah ia akan selesaikan masalah? Tidak,” kata Naib Presiden Amanah Mujahid Yusof Rawa kepada The Malaysian Insight, ketika ditemui sempena Konvensyen Nasional Amanah 2018, di Ipoh, semalam.
Selepas menjadi kerajaan dalam gabungan komponen PH, Amanah cuba mengetengahkan konsep Islam rahmat untuk sekalian alam, melalui pentadbiran dan tata kelola dalam urusan kerajaan.
Walaupun Amanah parti serpihan PAS dengan kebanyakan pemimpinnya daripada parti Islam itu, perlembagaan parti menerima bukan Islam sebagai ahli penuh. Menurut ahli jawatankuasa pusat Hu Pang Chaw, komponen bukan Melayu dalam Amanah kini 5% daripada jumlah keseluruhan keahlian lebih 100,000.
Amanah hanya menang 11 daripada 34 kerusi Parlimen yang ditandinginya ketika PRU14, tetapi ia menerima kedudukan dalam Kabinet agak besar, jika dibandingkan dengan jumlah ahli Parlimennya.
Parti itu mempunyai lima menteri penuh dan lima lagi timbalan menteri dalam Kabinet Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Mujahid, yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata konsep Islam dengan belas ihsan menjadi inti pati penubuhan Amanah, adalah berbeza dengan budaya menghukum oleh sesetengah pihak.
“Jangan jadikan kami sebagai pesaing PAS. Kalau PAS mahu, dia akan bersaing dalam naratif baharu kami. Umno dulu bersaing nak jadi lebih Islamik, lancar pelbagai slogan, tetapi gagal.
“PAS tipu orang dengan pemakaian mereka. Ia efektif (tarik undi) tapi bukan dalam jangka masa panjang. Tapi lihat mereka hari ini, mereka dedahkan kebodohan mereka. Saya tak peduli apa PAS dapat (dengan menjadi konvensional). Kami bukan nak bersaing dengan PAS,” kata ahli Parlimen Parit Buntar itu.
Bersaing di Kelantan, Terengganu
Tetapi bagaimana dengan pertarungan Amanah di negeri pantai timur?
Penganalisis politik Islam dan pantai timur Dr Mazlan Ali menggambarkan pengundi pantai timur sebagai konservatif di mana pandangan dunia mereka dibentuk oleh Islam atau nasionalisme Melayu.
“Dalam konteks ini, Umno dan PAS lebih rapat dengan pengundi pantai timur,” kata pensyarah Universiti Teknologi Malaysia itu.
Selain itu katanya, parti-parti baharu perlu masa yang banya untuk memikat pengundi di sana.
“Amanah lebih menarik kepada pengundi bandar sementara pengundi luar bandar tidak pedulikan mereka. Tahap pendidikan lebih rendah dan kurang kemahiran analisis akan menyebabkan mereka berpihak kepada PAS,” kata Mazlan.
Dalam tempoh dua dekad lalu, PAS juga membina pengikut yang kuat dalam kalangan tahfiz dan guru tadika Islam (PASTI).
Menyedari keadaan itu, Mujahid berkata mereka tidak akan bersaing dengan parti yang diasaskan oleh bapanya, Yusuf Rawa pada 1951 itu.
“Kami sekarang mentadbir Jakim dan selepas enam bulan, kami berjaya meyakinkan mereka untuk memasukkan konsep Rahmatan al-amin dalam semua programnya. Di bawah kementerian saya ia adalah polisi baru, diikuti maqasid syariah, dan model Malaysia.
“Ini bukan cerita potong tangan, rotan atau sebagainya, kami beri ruang untuk rakyat memahami Islam dengan model Malaysia.
“Pertandingan kami bukan dengan PAS tapi kami bawa naratif baharu. Kalau PAS boleh diyakinkan dengan naratif kami, silakan,” kata Mujahid.

Sementara itu, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata berteraskan konsep itu, Amanah hari ini bergerak jauh meninggalkan PAS yang memilih jalan 40 tahun ke belakang.
“Kami hari ini berada di landasan yang betul dengan slogan rahmat untuk sekalian alam dalam pendekatan politik kami.
“Kini masanya untuk kami sampaikan, Amanah membawa imej Islam progresif dalam konteks Malaysia majmuk.
“Manakala PAS pasca Muktamar 2015 memilih berundur 40 tahun ke belakang. Sebab itu kami tinggalkan PAS. Kami menolak pendekatan politik memecahkan, dengan rahmat untuk sekalian alam saya percaya Amanah mampu menawan hati rakyat,” katanya yang juga menteri pertanian dan industri asas tani itu.
Naib Ketua Pemuda Amanah Shazni Munir Mohd Ithnin berkata usaha Amanah itu untuk menamatkan sentimen agama dan kaum yang menjadi duri dalam daging rakyat dalam negara ini untuk sekian lama.
“Orang nak sokongan politik, main sentimen agama dan kaum, orang nak dapat sokongan agama, main sentimen agama.
“Saya merasakan menjadi tanggungjawab untuk Amanah memastikan sesuatu perkara seperti ini dihentikan,” katanya.
Beliau berkata hanya dengan cara itu, slogan Malaysia Baru akan benar-benar dapat dilaksanakan.
“Permainan kaum dan agama ini perlu dihentikan supaya kita dapat membina Malaysia baru yang benar-benar baru, bukan kerajaan baru tetapi mentaliti, dogmatik cara berfikir, cara bertindak masih terkebelakang,” katanya. – 17 Disember, 2018.
Komen