PAKATAN Harapan (PH) kini hanya kekurangan 20 kerusi untuk memperoleh majoriti dua pertiga dalam Parlimen dengan menyaksikan ‘acara’ lompat parti oleh wakil pembangkang ke blok kerajaan masih berterusan sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Setakat hari ini, pakatan kerajaan yang dibentuk dengan kerjasama PKR, DAP, Bersatu dan Amanah memiliki 119 kerusi Parlimen, termasuk dengan bantuan wakil pembangkang yang beralih arah.
Manakala sekutu PH di Sabah, Parti Warisan Sabah (Warisan) mempunyai sembilan kerusi di Parlimen, menjadikan jumlah keseluruhan kerusi sebanyak 128.
Ketika ini, kerajaan PH juga memperoleh sokongan 13 anggota Parlimen bebas yang terdahulu keluar dari Umno.
Pakatan itu memerlukan 148 daripada 222 kerusi untuk memperoleh majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.
Kerusi PKR bertambah dari 47 kepada 50 kerusi sejak PRU14 selepas tiga ahli Parlimen bebas dari Batu, P. Prabakaran; Jugah Muyang (Lubok Antu) dan Larry Sng (Julau) menyertai parti reformasi itu.
Bersatu pula menerima tiga ahli Parlimen dari Umno iaitu Mustapa Mohamed (Jeli), Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai) dan Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah), menjadikan jumlah kerusi yang dimiliki oleh parti itu meningkat kepada 16 kerusi.

Seorang lagi bekas ahli Umno iaitu Rozman Isli yang juga Ahli Parlimen Labuan turut menyertai Warisan pada Oktober.
Setakat ini, Umno kehilangan 17 ahli Parlimen daripada 54 kerusi yang dimenangi pada PRU14.
Walaupun empat ahli Parlimen Umno yang belot itu telah menyertai Bersatu atau Warisan, bakinya dijangka mengikut langkah serupa sama ada menyertai salah satu parti tersebut.
Pada 12 Disember, Umno Sabah dikejutkan dengan tindakan 16 anggotanya termasuk sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), lima ahli Parlimen dan dua senator mengumumkan keluar parti.
Lima ahli Parlimen itu adalah Abdul Rahim Bakri (Kudat), Azizah Mohd Dun (Beaufort), Ronald Kiandee (Beluran), Zakaria Mohd Edris (Libaran) dan Yamani Hafez Musa (Sipitang).
Penganalisis politik Universiti Malaya Profesor Bersekutu Dr Awang Azman Awang Pawi berkata PH akan memperoleh lima lagi kerusi jika ahli Parlimen Sabah yang kini berstatus bebas, menyertai mana-mana parti komponen di bawah Pakatan.
“Terdapat tiga lagi kerusi di bawah Gabungan Bersatu Sabah (GBS) iaitu Keningau dipegang oleh STAR, Pensiangan (PBRS) dan Kota Marudu (PBS).
“Dengan jumlah ini, PH dijangka memiliki 136 kerusi secara keseluruhannya.
“Ini tidak termasuk kerusi-kerusi Umno lain yang kini bergelar wakil Bebas dan dijangka menyertai Bersatu.
“Ini dijangka dapat penuhi dua pertiga jika tak ada bantahan kuat daripada Dap, PKR dan Amanah,” katanya.
Pada 14 Disember lalu, Umno sekali lagi menerima tamparan hebat apabila enam ahli Parlimennya meninggalkan parti.
Enam ahli tersebut adalah are Hamzah Zainudin (Larut), Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor), Mohd Faisah Mohd Fakeh (Sabah Bernam), Latiff Ahmad (Mersing) dan Ikmal Hisham (Tanah Merah).
Selepas 17 ahlinya keluar parti, Umno kini hanya tinggal 37 kerusi di Parlimen.
Susulan perkembangan tersebut, Hamzah berkata 36 ahli Parlimen Umno memberi isyarat untuk menyokong Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Pakatan.
Beliau berkata perkara itu sudah diputuskan kira-kira sebulan lalu.

Situasi dalaman Umno juga semakin kritikal apabila terdapat desakan agar presidennya, Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan.
Bagaimanapun Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata beliau hanya meletak jawatan jika dua pertiga perwakilan memintannya berbuat demikian pada persidangan khas parti.
Penganalisis politik Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata PH memerlukan majoriti dua pertiga untuk melaksanakan pindaan bagi melicinkan agenda reformasi. – 17 Disember, 2018.
Baca berita penuh di sini.
Komen