Bekas presiden Maldives disiasat terlibat kes rasuah


Pihak berkuasa kewangan Maldives membuat laporan polis tentang dana yang disalurkan dalam akaun peribadi Abdulla Yameen selepas mendapati dua transkasi yang mencurigakan. – Gambar EPA, 16 Disember, 2018.

BEKAS Presiden Maldives Abdulla Yameen disiasat atas tuduhan rasuah selepas mahkamah mengarahkan akaun miliknya yang mempunyai simpanan AS$6.5 juta dibekukan.

Yameen yang tewas pada pilihan raya September lalu, disoal siasat polis pada Sabtu.

Beliau didakwa menerima suapan hampir AS$1.5 juta semasa pilihan raya di negara itu.

Pihak berkuasa kewangan Maldives membuat laporan polis tentang dana yang disalurkan dalam akaun peribadi Yameen selepas mendapati dua transkasi yang mencurigakan.

Bekas presiden itu yang memimpin negara tersebut dengan corak pemerintahan kuku besi, bagaimanapun menafikan tuduhan tersebut.

Yameen bergantung kepada China untuk mendapat sokongan kewangan dan politik di negara yang dihuni 340,000 penduduk Islam, sekali gus memberi masalah kepada negara jiran India.

Beijing sebelum ini mencabar New Delhi dalam menguatkan kedudukan di rantau Asia, termasuk mencari pengaruh di Maldives, Sri Lanka dan Nepal.

China memberi pinjaman berbilion dolar kepada negara-negara di sekitar Lautan Hindi dengan alasan pembangunan infrastruktur walaupun langkah itu dilihat memerangkap negara kecil terbabit ke kancah hutang yang tinggi.

Namun presiden baharu Maldives Mohamed Solih memberi petanda berbeza apabila menuduh China cuba menguasai negara tersebut dan meminta bantuan India.

Solih berlepas ke India hari ini dalam lawatan rasmi pertamanya ke luar negara sejak menjadi presiden.

Beliau dijadualkan bertemu Perdana Menteri India Narendra Modi di New Delhi pada Isnin. – AFP, 16 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen