SETIAUSAHA Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres menggesa satu siasatan telus dilakukan terhadap kes pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi di Kedutaan Arab Saudi di Istanbul pada Oktober lalu.
“Amat penting untuk mempunyai siasatan telus dan menghukum mereka yang bersalah,” katanya pada satu sidang media di Doha.
Guterres berkata beliau tidak mempunyai maklumat berhubung kes itu dan hanya bergantung kepada laporan media.
Khashoggi, kolumnis portal Washington Post, dibunuh pada 2 Oktober lalu selepas memasuki konsulat Arab Saudi di Istanbul.
Arab Saudi berulang kali menolak tuntutan Turki untuk mengekstadisi suspek kes bunuh wartawan itu yang sering mengkritik Putera Raja Mohammed bin Salman.
Semalam Menteri Luar Turki Mevlut Cavusoglu berkata kerajaannya tidak akan berputus asa dalam membongkar kebenaran tentang kes pembunuhan itu.
“Kita masih belum menerima sebarang maklumat terbaru hasil siasatan daripada Arab Saudi,” katanya.
Awal bulan ini, kerajaan Turki mengadakan rundingan dengan PBB untuk menyiasat kes pembunuhan yang membangkitkan kemarahan masyarakat antarabangsa.
Menurut Istanbul, seramai 15 anggota elit tentera Arab Saudi dihantar ke Istanbul untuk membunuh Khashoggi.
Setakat ini Riyadh telah menahan seramai 21 orang suspek.
Walaupun spekulasi mengatakan Salman memberi arahan pembunuhan tersebut, namun kerajaan Saudi menafikan penglibatan beliau.
Kes itu merosakkan reputasi Riyadh di peringkat antarabangsa dan negara Barat termasuk Amerika Syarikat, Perancis dan Kanada mengenakan sekatan terhadap hampir 20 individu dari Arab Saudi. – AFP, 16 Disember, 2018.
Komen