Adun Sekinchan buat laporan polis terhadap Jamal


Bede Hong

Ng Suee Lim bersama beberapa ketua kampung dan penyokongnya membuat laporan polis di Balai Polis Sekinchan hari ini. – Gambar The Malaysian Insight, 22 Ogos, 2017.

AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekinchan Ng Suee Lim membuat laporan polis terhadap ketua kumpulan baju merah Jamal Md Yunos kerana didakwa membawa 7,000 pengundi luar ke kawasan itu.

Dalam laporan  yang dibuat di Balai Polis Sekinchan hari ini,  Adun DAP itu mendakwa Jamal membawa pengundi luar “secara pukal” menggunakan “jutaan ringgit”.

“Tindakan ini bertentangan dengan amalan demokrasi dan menafikan hak pengundi tempatan yang sedia ada,” katanya dalam laporan itu.

Laporan Ng berdasarkan artikel The Malaysian Insight yang disiarkan pada 30 Julai lalu.

“Kami mahu beritahu media yang beliau (Jamal) bawa pengundi hantu dengan kos jutaan ringgit.”

“Tindakan ini tidak bertanggungjawab, kotor dan menjijikkan,” kata Ng selepas membuat laporan yang turut dihadiri beberapa ketua kampung dan penyokongnya.

Jamal yang juga ketua Umno bahagian Sungai Besar memberitahu The Malaysian Insight bahawa Ng sebenarnya yang membawa pengundi untuk didaftarkan di kawasan itu.

“Biar dia buat laporan,” katanya ketika dihubungi.

“Kami (Umno) mengenal pasti apa yang kami panggil DNA Umno. Kami cuba mendaftarkan anak ahli Umno. Kami tidak daftarkan pengundi Cina atau India.”

“Lagi pun saya percaya Suee Lim sendiri yang menggunakan taktik itu untuk menyalahkan Umno dan mengatakan kami yang melakukannya. Kenapa saya nak buat begitu? Sebenarnya saya cuba untuk meningkatkan peratusan pengundi Melayu untuk membantu kerusi (Parlimen) Sungai Besar,” katanya.

Pengundi asal Cina dan Sabah yang ditemui The Malaysian Insight mendaftarkan alamat mereka di perkampungan tanah rizab Melayu.

Penduduk yang ditemui The Malaysian Insight berkata mereka tidak mengenali ramai jiran mereka dalam draf tambahan senarai pemilih yang diterbitkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada suku pertama tahun ini.

Ng berkata, beliau berjaya mencabar banyak pengundi baharu namun proses bantahan yang dijalankan SPR memakan masa yang lama.

Menurut data daftar pemilih SPR 2013, jumlah pengundi di  Sekinchan adalah 16,247 yang terdiri daripada 56% Cina, 42% Melayu dan 2% India. Melayu adalah majoriti berketurunan Jawa dan Banjar. – 22 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen