PELANTIKAN menantu lelaki Presiden Hassan Rouhani sebagai ketua kaji selidik geologi Iran telah menguatkan lagi tuduhan amalan nepotisme yang menyebabkan peletakan jawatan seorang pegawai kanan pada hari Ahad, lapor media konservatif.
Pelantikan Kambiz Mehdizadeh, yang masih berusai awal tiga puluhan dan dilaporkan berkahwin dengan anak perempuan Rouhani dalam perkahwinan yang tidak begitu didedahkan pada Ogos lalu, mengundang kritikan secara meluas oleh rakyat Iran di media sosial.
Ia juga mencetuskan peletakan jawatan Jafar Sargheyni, ketua bahagian perlombongan dalam kementerian industri, yang mengkritik bahawa “pelantikan itu tidak profesional” tanpa secara langsung menghalakan kenyataan itu kepada Mehdizadeh, kata agensi berita Tasnim.
Mehdizadeh adalah pelajar kedoktoran dalam bidang kejuruteraan petroleum, beliau juga pernah berkhidmat sebagai penasihat kepada kementerian minyak Iran, persekutuan taekwando dan organisasi belia negara, kata Tasnim.
Media sosial di Iran kembali memperkatakan kritikan terhadap amalan nepotisme yang mula tersebar tahun lalu dengan tandapagar “#good-genes” (jenetikbagus) - merujuk kepada anak seorang ahli politik reformis yang terkenal yang menganggap kejayaan perniagaannya adalah kerana beliau mewarisi “jenetik yang baik” daripada orang tuanya.
“Saya taak tahu pula menantu lelaki boleh mewarisi #good_genes! (jenetik yang baik),” tulis satu pengguna Twitter pada Ahad merujuk kepada pelantikan Mehdizadeh.
Satu lagi kempen dalam talian pada musim panas ini menggesa pegawai kanan untuk menjelaskan keistimewaan yang diberikan kepada anak-anak mereka, khususnya mereka yang belajar di Amerika Syarikat dan negara-negara Barat lain.
Kempen “#Where_is_your_kid” memberi tekana kepada beberapa tokoh kerajaan untuk bertindak balas, termasuk Menteri Luar Negeri Mohammad Javad Zarif yang mengatakan anak-anaknya telah kembali ke Iran selepas belajar di luar negara. – AFP, 16 Disember, 2018.
Komen