Walaupun gencatan senjata dimeterai, serangan masih melanda Hodeida


Pemberontak yang disokong Iran dan kerajaan Presiden Abedrabbo Mansur yang disokong pakatan tentara Arab Saudi kini bertempur semula. – Gambar EPA, 16 Disember, 2018.

SERANGAN udara dan pertempuran sengit menggegarkan pinggir bandar pelabuhan Yaman di Hodeida semalaman, kata sumber-sumber pro-pemerintah dan penduduk pada hari Ahad, walaupun gencatan senjata PBB telah termeterai.

Sekurang-kurangnya 29 pejuang, termasuk 22 pemberontak Huthi, terbunuh pada malam Sabtu dalam pertempuran dan serangan udara di wilayah Hodeida, kata sumber tentera pro-kerajaan kepada AFP.

Beliau menambah bahawa tujuh pemberontak ditangkap semasa serangan ke atas daerah Al-Durayhimi, yang terletak kira-kira 20 kilometer di selatan bandar Hodeida.

Penduduk bandar yang dihubungi melalui telefon berkata bahawa pertempuran itu “sengit” dan bunyi jet kedengaran sepanjang malam sehingga kira-kira 5 pagi pada hari Ahad.

Pertempuran itu tercetus beberapa hari selepas gencatan senjata yang diusahakan PBB berkuat kuasa, perjanjian yang sukar dilakukan itu dipersetujui di Sweden di antara pihak yang bertempur di Yaman.

Gencatan senjata antara tentera kerajaan Yaman, yang disokong Arab Saudi, dan pemberontak Huthi akan diikuti dengan penarikan diri dalam masa beberapa hari oleh kedua-dua belah pihak.

Dalam komentar yang diterbitkan pada hari Sabtu oleh agensi berita Saba yang dikendalikan pemberontak, Huthis menuduh pasukan pro-kerajaan telah menyusup ke dalam kejiranan penduduk di bandar Hodeida. – AFP, 16 Disember, 2018.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen