PSM kaji sentimen di Cameron Highlands sebelum putuskan bertanding


Asila Jalil

Michael Jeyakumar mahu tahu sentimen penduduk Cameron Highlands sebelum apa-apa keputusan diambil PSM berhubung pilihan raya kecil yang akan diadakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Disember, 2018.

PARTI Sosialis Malaysia (PSM) akan mendapatkan maklum balas mengenai sentimen pengundi di Cameron Highlands sebelum membuat keputusan bertanding dalam pilihan raya kecil itu, kata Dr Michael Jeyakumar.

Anggota jawatankuasa pusat PSM itu berkata parti berhaluan kiri itu mengadakan mesyuarat semalam bagi membincangkan perkara tersebut, ia bagaimanapun belum membuat apa-apa keputusan.

“Terdapat beberapa isu yang perlu kami bincang, sama ada mengambil bahagian boleh membantu kami mempromosi kritikan terhadap prestasi Pakatan Harapan dari segi isu-isu eskonomi sosial.

“Kami sangat gembira dengan cara mereka (PH) menangani masalah tadbir urus, seperti pembaharuan institusi. Hal itu, sebahagiannya cukup bagus.

“Tetapi kami dapati banyak masalah di sudut ekonomi sosial, seperti gaji minimum dan cara mereka kendalikan pekerja asing,” katanya kepada The Malaysian Insight hari ini.

Bekas ahli Parlimen Sungai Siput itu berkata mereka menemui  ahli-ahli parti itu di Cameron Highlands bagi menilai peluang parti itu mengungguli pilihan raya di sana.

“Tarikh pilihan raya tidak diumumkan lagi, jadi, tidak tergesa-gesa, masih ada masa,” katanya.

Kerusi Cameron Highlands diisytiharkan kosong selepas mahkamah pilihan raya mendapati penyandangnya C. Sivarraajh dari parti MIC bersalah memberikan rasuah kepada pengundi Orang Asli dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Sewaktu PRU14, B. Suresh Kumar dari PSM mendapat 680 undi dan jatuh di tempat keempat dalam pertandiangan lima penjuru untuk merebut kerusi itu.

Sivarraajh memenangi kerusi itu dengan 10,307 undi, dengan jumlah majoriti sebanyak 597 undi berbanding M. Manogaran PKR yang menerima 9,170 undi.

Calon PAS Wan Mahadhir Wan Mahmud menerima 3,587 undi, dan Mohd Tahir Kassim daripada Berjasa, sebanyak 81 undi.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya mengesahkan pilihan raya kecil akan diadakan untuk kerusi Parlimen Cameron Highlands selepas Barisan Nasional memutuskan untuk tidak membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah mengumumkan kerusi parlimen itu kosong. – 16 Disember, 2018.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen