Israel dakwa temui 'terowong serangan' keempat dari Lubnan


Tentera Israel menjalankan operasi memusnahkan terowong-terowong yang digali di sepanjang sempadannya. – Gambar EPA, 16 Disember, 2018.

TENTERA Israel berkata hari ini bahawa pihaknya menemui satu lagi “terowong serangan” Hizbullah yang bermula dari Lubnan ke wilayahnya.

Ia didakwa terowong yang keempat ditemui sejak tentera memulakan operasi mencari dan menghancurkan terowong bulan ini.

Israel mengatakan kumpulan militan Syiah yang menyokong Iran tersebut menggali terowong untuk menyusup masuk ke wilayahnya adalah bertujuan untuk digunakan ketika konflik berlaku di masa depan, ia juga menyebut bahawa pihak tentera sedang berusaha untuk menghapuskannya.

Terowong terbaru yang melintasi bahagian utara Israel itu didedahkan pada hujung minggu, kata pihak tentera dalam satu kenyataan.

Sama seperti yang dilakukan terhadap terowong lain yang ditemui, tentera akan meletakkan bahan letupan di dalamnya bagi menyekat puak penentang dari Lubnan, katanya.

Tentera bagaimanapun enggan memberikan lokasi yang tepat, namun menekankan terowong itu tidak “memberikan ancaman yang besar”.

Pada 4 Disember lalu, tentera melancarkan sebuah operasi yang digelar “Northern Shield” bertujuan memusnahkan terowong yang dikatakan digali di bahagian sempadan oleh Hizbullah.

Israel pernah bertempur dengan Hizbullah pada tahun 2006 yang kemudiannya dihentikan susulan gencatan senjata yang diusahakan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Hizbullah adalah satu-satunya kumpulan di Lubnan yang tidak akan melepaskan senjata selepas perang saudara sekitar tahun 1975-1990 di negara itu. – AFP, 16 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen