Sri Lanka lantik semula bekas PM terajui negara


Ranil Wickremesinghe mengangkat semula sumpah sebagai perdana menteri Sri Lanka selepas hampir dua bulan dipecat. – Gambar AFP, 16 Disember, 2018.

RANIL Wickremesinghe dilantik semula sebagai perdana menteri Sri Lanka untuk menangani krisis politik yang membelenggu negara itu.

Pemimpin berusia 69 tahun itu mengangkat sumpah di depan Presiden Maithripala Sirisena yang memecat beliau pada 26 Oktober lalu.

Pemecatan Wickremesinghe sebelum ini mencetuskan kemelut politik yang mengheret negara itu ke kancah hutang yang meruncing.

Wickremesinghe enggan beralah sejak dipecat dan kedudukannya diganti oleh Mahinda Rajapakse.

Namun kerajaan Sri Lanka gagal berfungsi selama tempoh hampir dua bulan di bawah Rajapakse selepas dua kumpulan bertelagah bersaing merebut kuasa di Parlimen dan mahkamah.

Susulan itu, Sirisena terpaksa melantik semula Wickremesinghe sebagai perdana menteri walaupun presiden itu pernah berikrar untuk tidak berbuat demikian.

Majlis angkat sumpah itu diadakan secara tertutup dan pengumuman mengenai pelantikan Wickremesinghe sebagai perdana menteri dibuat oleh wakil beliau.

Pilihan Sirisena, Rajapakse sebelum ini gagal untuk mentadbir kerajaan sehingga kehilangan sokongan majoriti dalam Parlimen.

Beliau tewas dalam undian tidak percaya di Parlimen sebanyak enam kali dan dipaksa meletak jawatan pada Sabtu.

Sementara itu, Wickremesinghe dijangka mengumumkan pembentukan barisan Kabinet dalam tempoh terdekat dengan memberi keutamaan pada pembentangan Bajet 2019.

Kerajaan Sri Lanka mengalami kelumpuhan selepas Parlimen gagal mencapai kata sepakat untuk meluluskan Bajet 2019 dan agensi penarafan menurunkan taraf hutang negara itu yang semakin meningkat. – AFP, 16 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen