Amanah sedia terima bekas ahli Umno, kata Mohamad Sabu


Mohd Farhan Darwis Chan Kok Leong

Mohamad Sabu mengatakan setiap bekas pimpinan Umno akan dikaji sebelum diluluskan penyertaan mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 16 Disember, 2018.

AMANAH akan menerima bekas ahli Umno sekiranya mereka menyokong prinsip parti dan menolak rasuah, kata Mohamad Sabu menjawab spekulasi mengenai masa depan wakil rakyat parti Melayu itu yang hangat diperkatakan sejak minggu lalu.

Presiden Amanah berkata beberapa bekas ahli Umno mahu menyertai parti terkecil Pakatan Harapan itu.

“Kita tahu bahawa sebahagian daripada mereka mempertimbangkan Amanah. Kita akan kaji semula kes mereka, satu demi satu, ” kata Mohamad Sabu semasa ucapan penggulungannya di konvensyen parti itu di Ipoh hari ini.

Beliau berkata bahawa Umno berpecah selepas kekalahan teruk sehingga bekas Ketua Menteri Melaka juga turut mengumumkan keinginan untuk keluar daripada parti Melayu itu.

Beliau turut berkata adalah penting untuk membina sokongan padu terhadap Amanah, terutamanya di kalangan orang Melayu supaya tidak dituduh sebagai tunggangan DAP.

Menteri Pertahanan itu mengingatkan perwakilan Amanah mengenai pentingnya mengekalkan keharmonian dalam Pakatan Harapan memandangkan sebahagian besar bekas ahli Umno memilih untuk menyertai Bersatu yang diterajui Dr Mahathir Mohamad.

“Kami kuat hari ini kerana kami bersama pihak lain dalam Pakatan. Sebagai contoh, kejayaan kami di Johor mustahil tanpa ada pihak lain. Berapa banyak kerusi yang boleh kita menang jika kita bertanding secara bersendirian? Tidak seorang pun (yang akan menang), saya rasa.

“Kekuatan kita terletak pada Pakatan dan oleh itu, kita mesti melindungi pakatan ini. Kita mesti pastikan bahawa isu dan salah faham dibuang di kalangan kita sendiri,” kata Mohamad Sabu. 

Beliau berkata salah faham dan komunikasi buruk antara parti komponen Barisan Nasional turut menyumbang kepada kejatuhan mereka.

“Inilah yang berlaku kepada BN di mana MCA dan MIC ditinggalkan dengan satu kerusi (selepas keputusan mahkamah membatalkan keputusan pilihan raya Cameron Highlands). Mengenai Gerakan dan MyPPP, tiada siapa yang tahu di mana mereka berada sekarang,” kata Ahli Parlimen Kota Raja itu.

Presiden Amanah itu turut mengambil kesempatan memberi komentar terhadap parti lama beliau, PAS berhubung perhimpunan anti-ICERD yang pada satu masa adalah penentang kuat Umno.

Beliau berkata tidak masuk akal mereka berteriak “Hidup Melayu” namun masih berada dalam satu lori bersama Umno.

“Cara selamatkan orang Melayu bukan dengan curi daripada Tabung Haji atau dana untuk tentera, yang terdiri daripada 90% orang Melayu.”

Semasa perhimpunan anti-ICERD Sabtu lalu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang duduk di samping presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang didakwa berhubung rasuah dan penyalahgunaan kuasa. turut hadir pada perhimpunan itu adalah bekas perdana menteri Najib Razak dan Rosmah Mansor, yang masing-masing menghadapi tuduhan rasuah.

Tetapi Mohamad Sabu berkata bahawa kerajaan baru komited untuk membuka ruang demokratik dan tidak akan mengulangi apa yang dilakukan kerajaan sebelum ini berhubung himpunan tunjuk perasaan.

“Mereka boleh laksana program yang mereka mahu. Kami tidak salahkan dan tidak akan menyekat mereka,” kata Mohamad lagi.

Selain dua kali menjadi tahanan (1984-1986 dan 1987-1989) di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, Mohamad juga pernah menjadi sasaran penangkapan semasa dan selepas apa-apa himpunan tunjuk perasaan. – 16 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen