Kemboja rampas 3 tan gading gajah seludup


Kontena berisi tiga tan gading gajah yang dirampas pihak berkuasa Kemboja didapati berasal dari Mozambique dan tiba di pelabuhan negara itu tahun lepas. – Gambar EPA, 16 Disember, 2018.

KEMBOJA merampas lebih 3.2 tan gading gajah disembunyikan di dalam kontena dari Mozambique, kata seorang pegawai kastam pada Ahad, merupakan rampasan terbesar terbesar di negara itu.

Penemuan 1,026 gading pada Khamis di Pelabuhan Autonomi Phnom Penh susulan maklumat daripada Kedutaan Amerika Syarikat, kata pegawai itu, dan menekankan kemunculan Kemboja sebagai pusat transit utama bagi perdagangan haram berbilion dolar hidupan liar.

“Gading gajah disembunyi di antara marmar dalam kontena yang ditinggalkan,” kata Sun Chhay, pengarah Pejabat Kastam dan Eksais di pelabuhan itu, kepada AFP.

Beliau berkata gading itu dihantar dari negara Afrika Selatan, Mozambique dan tiba di pelabuhan tahun lepas.

Pemilik yang tidak dikenali tidak muncul untuk mengambil kargo itu.

Gambar diambil menunjukkan barisan panjang gading yang disusun di kawasan pelabuhan.

Sun Chhay berkata beliau tidak tahu sama ada penghantaran itu untuk pasaran di negara lain.

Permintaan dari China dan Vietnam mendorong pertumbuhan penyeludupan haram hidupan liar melalui Kemboja.

Penguatkuasaan undang-undang yang lemah dan rasuah menarik penyeludup hidupan liar, terutamanya ketika negara jiran Thailand mengambil tindakan keras terhadap perdagangan yang diharamkan.

Gading berharga kerana kecantikannya manakala pasaran dalam perubatan tradisional membawa kepada penyeludupan sumbu badak dan sisik tenggiling.

Kemboja mempunyai populasi gajah yang kecil tetapi kemunculannya sebagai hab pemerdagangan baru menjadikan ia tajuk berita dalam tempoh lima tahun yang lalu.

Rampasan terbesar sebelum minggu ini berlaku pada 2014, apabila kastam Kemboja merampas kira-kira tiga tan gading disorok di dalam kontena kacang di pelabuhan barat daya Sihanoukville.

Tahun lepas, Kemboja juga merampas hampir satu tan gading disorok dalam kontena tinggal, dimiliki sebuah syarikat yang berpangkalan di Mozambique. – AFP, 16 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen