TIADA penangkapan baru mana-mana dalang serangan di kuil Sri Maha Mariamman, Seafield dilakukan oleh pihak polis.
Ketua Polis Selangor, Mazlan Mansor berkata demikian ketika menafikan penularan media sosial yang mendakwa polis menahan seorang lelaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) kerana bertindak sebagai orang tengah untuk mengupah sekumpulan samseng untuk menyerang kuil itu.
Dalam laporan yang tular itu, lelaki tersebut ditahan pasukan dari ibu pejabat polis daerah Klang Selatan.
Ketika dihubungi, Mazlan memberitahu The Malaysian Insight, lelaki dalam berita itu sebenarnya telah ditahan pada 3 Disember lalu dan dibebaskan dengan ikat jamin.
“Berita tentang penangkapan itu tidak benar. Dia ditahan dan dibebaskan dengan jaminan polis pada 6 Disember lalu. Penyiasatan terhadap lelaki itu masih berterusan.
“Kami menggesa orang ramai supaya tidak menyebarkan berita yang tidak boleh dipercayai di media sosial. Ini adalah berita palsu yang dibuat untuk sensasikan masalah ini,” kata Mazlan.
Satu lagi sumber yang rapat dengan siasatan juga menafikan sebarang tangkapan baru dibuat di klia2.
“Kisah penangkapan itu tidak benar,” kata pegawai kanan polis kepada The Malaysian Insight.
Ia dilaporkan semalam bahawa lelaki itu ditangkap di Terminal 2 klia2, dan mesej yang mengandungi maklumat penangkapan kemudiannya menjadi tular.
Tiada tarikh penangkapan disebut dalam mesej tersebut, bagaimanapun nombor myKad lelaki berkenaan dan alamatnya didedahkan.
Mesej tular itu mendakwa lelaki tersebut didakwa menerima RM150,000 daripada peguam yang mewakili pemaju dan memberikan RM50,000 daripada jumlah itu kepada pihak ketiga bagi melancarkan serangan pada malam 26 November lalu.
Setakat ini, polis telah menahan lebih daripada 100 suspek yang terlibat dalam rusuhan kuil itu. Beberapa orang daripada mereka telah dihadapkan ke mahkamah. – 16 Disember, 2018.
Komen