TIADA sebab Amanah atau mana-mana komponen Pakatan Harapan tidak dapat terima bekas pemimpin pembangkang yang mahu menyertai mereka, kata naib presiden Amanah Mahfuz Omar, kerana sebelum ini pun mereka dapat terima Dr Mahathir Mohamad.
Katanya, apa yang penting, sesiapa pun yang mahu masuk Amanah atau PH mesti meninggalkan perangai buruk menunggang politik untuk kepentingan diri, termasuk mengumpul kekayaan.
“Dahulu pun sukar untuk kita menerima kerjasama dengan (Perdana Menteri) Dr Mahathir Mohamad, kerana perjuangan kita menolak dan lawan beliau ketika dalam Umno. Kita juga ada sejarah hitam dengan Dr Mahathir.
“Tetapi kita kena amal sikap terbuka untuk orang luar menyertai PH, khususnya Amanah.
“Dahulu pun kita sukar nak terima Dr Mahathir, tetapi penerangan demi penerangan yang diberikan kepimpinan kita akhirnya faham,” kata Mahfuz, ketika sesi penggulungannya di Konvensyen Nasional Amanah 2018 di Ipoh, hari ini.
Timbalan Menteri Sumber Manusia itu turut menegaskan Amanah mempunyai sistem dan disiplin yang boleh dikenakan terhadap ahli yang melakukan kesilapan.
“Mereka harus buang tabiat lama, politik kumpul harta kekayaan untuk keluarga dan diri mereka sendiri.
“Tapi mereka harus sedar mereka menggalas amanah untuk membela negara dan rakyat mampu menikmati hasil kejayaan kita,” kata Mahfuz.
Beliau sehubungan itu mengingatkan ahli Amanah agar tidak gusar dengan penyertaan mana-mana bekas pemimpin pembangkang ke dalam PH.
“Kita jangan takut, kita ada disiplin. Kalau ada yang buat silap, tindakan disiplin boleh kita ambil,” katanya.
Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), parti komponen PH menerima kemasukan bekas-bekas pemimpin Umno dari kalangan ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) ke dalam parti kerajaan itu.
Minggu lepas, lima ahli Parlimen, bersama sembilan Adun dan dua senator Umno Sabah bertindak meninggalkan parti itu dan menyokong kepimpinan Dr Mahathir.
Langkah itu kemudiannya dituruti enam lagi ahli Parlimen, Hamzah Zainudin (Larut), Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor), Mohd Faisah Mohd Fakeh (Sabak Bernam), Latiff Ahmad (Mersing) dan Ikmal Hisham (Tanah Merah) keluar Umno.
Beberapa pihak bagaimanapun melihat tindakan PH menerima mereka akan memberikan implikasi negatif, kerana perjuangan mereka adalah untuk menolak Umno.
Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub sebelum ini berkata PH juga tidak seharusnya menolak mentah-mentah penyertaan bekas pemimpin Umno untuk menyertai mana-mana parti komponen mereka.
Salahuddin bagaimanapun berkata, gabungan parti kerajaan itu perlu membuat tapisan dan memilih mereka yang bersih dan amanah.
“Kita bagi BN hancur, sebab mereka menggunakan politik perkauman sejak sekian lama.
“Tapi yang paling penting, kita hanya terima mereka yang ada integriti sahaja,” kata menteri pertanian dan industri asas tani itu lagi. – 16 Disember, 2018.
Komen