MALAYSIA tidak perlu meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) selagi ia berpegang dengan prinsip keadilan dan kesaksamaan untuk semua, kata Dr Dzulkefly Ahmad
“Lebih-lebih lagi apabila Amanah adalah sebahagian daripada kerajaan kerana ia akan mengangkat kesaksamaan untuk semua.
“Hanya mereka yang mengancam kaum dan budaya lain yang memerlukan ICERD,” kata ahli strategi Amanah itu pada sesi penggulungan konvensyen parti di Ipoh hari ini.
Beliau berkata Amanah akan terus menegakkan keadilan dan hak yang sama rata untuk semua dan kebebasan mengamalkan agama dalam sistem monarki berperlembagaan seperti yang ditakrif oleh Perlembagaan.
Dzulkefly, yang juga merupakan Menteri Kesihatan, menjelaskan mengapa parti itu menonjolkan jenama politik Islam yang berbeza di konvensyen parti itu.
Beliau berkata Amanah, selepas kejayaan pilihan raya yang menyaksikan pelantikan empat menteri dan lima timbalan menteri daripada 11 Ahli Parlimennya, ia tidak mahu mengikut jejak langkah PAS.
Beliau berkata, mudah bagi Amanah untuk berundur agar mendapat sokongan orang Melayu dan Muslim sahaja.
“Tetapi adakah kami ingin menjadi PAS 2.0?” Kata Dzulkefly.
Beliau berkata, selagi demografi Malaysia terdiri daripada 60% orang Melayu dan 40% orang bukan Melayu, adalah penting untuk mendapat sokongan semua.
“Oleh itu, ini adalah masa bagi kita untuk mengatakan bahawa kita tidak akan berundur daripada mempertahankan Islam yang inklusif dan progresif dengan mendukung prinsip “Rahmatan lilalamin “(manfaat untuk semua).
“Dan kita tidak boleh terperangkap dalam ekstremisme kaum yang ditonjolkan Umno atau definisi sempit Islam PAS,” kata Ahli Parlimen Kuala Selangor itu. – 16 Disember, 2018.
Komen