'Rumusan' pengerusi RCI hanya pandangan tiada kesan dari segi perundangan


Bede Hong

RUMUSAN pengerusi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Mohd Sidek Hassan bahawa kerugian Bank Negara Malaysia dalam urus niaga mata wang asing antara 1991 hingga 1994 berjumlah sehingga RM31.516 bilion tidak mempunyai apa-apa kesan dari segi perundangan, kata peguam.

Mohd Sidek yang mengetuai panel siasatan enam anggota itu membuat rumusan berkenaan sebelum tamat hari pertama pendengaran semalam.

Beliau membuat rumusan itu berdasarkan keterangan bekas pengurus akaun BNM Abdul Aziz Abdul Manaf bahawa kerugian itu disebab oleh urus niaga yang tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa bank pusat.

“Pada peringkat ini, ia tidak memberi sebarang kesan perundangan keranan RCI hanya boleh membuat rumusan yang muktamad selepas mendengar keterangan semua saksi dan penggulungan, sama seperti proses siasatan yang lain,” kata Surendra Ananth, pengerusi bersama Jawatankuasa Undang-Undang Perlembagaan Badan Peguam Malaysia.

“Saya yakin kenyataan itu diambil daripada keterangan saksi pertama. Hanya pengerusi panel yang membuat rumusan itu, tanpa merujuk kepada anggota panel lain. Saya rasa tajuk laporan (berita) itu salah,” katanya.

Surendra menarik perhatian bahawa adalah “janggal” bagi anggota kehakiman atau badan separa kehakiman untuk membuat rumusan yang prejudis sebelum berakhirnya siasatan.

“Saya lihat ini akan menjejaskan keyakinan umum kepada kebebasan pengerusi suruhanjaya dan ini boleh menambah lagi alasan untuk menyingkirkan beliau,” katanya.

Prosiding hari pertama pada Isnin menyaksikan tiga saksi dipanggil memberikan keterangan. Selain Aziz, suruhanjaya itu juga mendengar keterangan daripada juruaudit BNM Ahmad Hizzad Baharuddin dan bekas penolong gabenor BNM  Abdul Murad Khalid. – 22 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen