Qatar gesa tubuh pakatan negara Teluk baharu


Menteri Luar Mohammed Abdulrahman Al-Thani berkata boikot yang dikenakan ke atas Qatar oleh Arab Saudi dan sekutunya memusnahkan organisasi enam negara yang ditubuhkan ketika kemuncak Perang Iran-Iraq pada 1981 itu. – Gambar EPA, 15 Disember, 2018.

QATAR hari ini menggesa pembentukan kerjasama serantau yang baharu susulan kegagalan Majlis Kerjasama Teluk yang berusia empat dekad menyelesaikan kemelut diplomatik yang berlanjutan 18 bulan antara negara jirannya.

Menteri Luar Mohammed Abdulrahman Al-Thani berkata boikot yang dikenakan ke atas Qatar oleh Arab Saudi dan sekutunya memusnahkan organisasi enam negara yang ditubuhkan ketika kemuncak Perang Iran-Iraq pada 1981 itu.

“Pakatan serantau terjejas kerana krisis ini,” kata Sheikh Mohammed kepada penggubal dasar pada Forum Doha yang berlangsung selama dua hari.

“Kerana itu, pakatan yang wujud perlu dibentuk dan direka semula bagi memastikan kestabilan dan keselamatan serantau di masa depan.”

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Emir Qatar Sheikh Tamim Hamad Al- Thani tidak hadir ke sidang kemuncak GCC di Riyadh Ahad lepas walaupun menerima jemputan Saudi.

Menteri Qatar itu turut mengecam alasan digunakan Arab Saudi dan sekutunya- Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu- untuk melaksanakan boikot ke atas negaranya.

“Ia berdasarkan penipuan, ia berdasarkan jenayah…ia berdasarkan pembentukan propaganda untuk mewujudkan ketakutan dalam kalangan rakyat,” katanya.

Riyadh dan sekutunya menuduh Doha menyokong “kumpulan pengganas”, termasuk Ikatan Muslimin yang disenaraihitamkan tetapi mempunyai hubungan baik dengan Qatar.

Mereka juga menuduh negara kecil kaya minyak itu memperbaiki hubungan dengan musuh Saudi, Iran dengan berkongsi pelantar minyak pesisir pantai.

Saudi dan sekutu menetapkan 13 tuntutan yang ditolak Doha, menganggap serangan ke atas kedaulatan dan hak dasar luarnya.

Dalam ucaptamanya, Emir berkata negara jiran Qatar perlu menghormati kemerdekaannya.

“Membatalkan sekatan adalah berdasarkan pengiktirafan bersama dan dasar tidak masuk campur (urusan negara lain),” katanya. – AFP, 15 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen