SEKURANG-kurangnya 20 orang maut dan 14 yang lain cedera apabila sebuah trak yang membawa mereka balik dari upacara pengebumian menjunam kira-kira 400 meter di tebing sebuah sungai di Nepal, kata polis.
Kemalangan berlaku ketika trak itu membelok dan terbabas dari sebatang jalan sempit dan tidak berturap di sebuah kawasan berbukit kira-kira 70 km dari Kathmandu semalam.
Menurut polis, setakat ini 18 mayat dijumpai di tempat kejadian. Seorang mati ketika dalam perjalanan ke hospital manakala seorang lagi mati ketika menerima rawatan.
“Mayat bergemimpangan di tebing sungai dan cerun bukit. Kami masih mencari mayat di tempat kejadian kerana jumlah sebenar penumpang trak masih belum diketahu,” kata pegawai polis, Bhimlal Bhattarai.
Pihak berkuasa masih belum mengesahkan punca kemalangan, namun berkata ia mungkin kerana trak itu dipandu laju ketika melalui jalan sempit.
Kemalangan maut memang sudah jadi kebiasaan di negara miskin itu disebabkan keadaan jalan rayanya yang teruk, kenderaan yang usang dan tabiat memandu dengan laju. – AFP, 15 Disember, 2018.
Komen