11 maut termakan nasi beracun di kuil Hindu


Seramai 93 orang dimasukkan ke hospital dan 29 daripada mereka kritikal. – Gambar fail AFP, 15 Disember, 2018.

SEBELAS orang mati selepas makan nasi yang mungkin dicemari bahan toksik pada satu upacara di kuil Hindu di India, kata pegawai kesihatan pada Sabtu.

Manakala 29 lagi dilaporkan kritikal dan kini sedang dirawat di unit rawatan kecemasan di beberapa hospital di Mysore, sebuah bandar di negeri Karnataka.

“Sebelas orang mati setakat ini dan 93 orang dimasukkan ke hospital. 29 daripada mereka kritikal,” kata K. H. Prasad, pegawai kesihatan di daerah Chamraj Nagar, di mana kuil tersebut berada.

“Mungkin beberapa bahan toksik dicampurkan dalam nasi. Sampel sudahpun dihantar untuk diuji,” kata Prasad.

Pesakit yang sedang dirawat mengalami muntah-muntah, cirit-birit dan sukar bernafas, tambahnya.

Menurut polis, penganut berkumpul di kuil Kicchukatti Maramma bagi upacara penyucian pada Jumaat. Mereka membawa nasi untuk dipersembahkan dalam upacara itu.

Ketua Menteri, H.D. Kumaraswamy melahirkan dukacita atas kejadian dan mengumumkan pampasan sebanyak 500,000 rupee kepada setiap keluarga mangsa. – AFP, 15 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen