PERWAKILAN Amanah hari ini menggesa Presidennya, yang juga Menteri Pertahanan Mohamad Sabu mewujudkan jawatan pegawai khas khusus untuk membela nasib golongan veteran tentera.
Perwakilan Amanah Perlis, Muhammad Yahya, yang juga veteran tentera berkata, golongan berkenaan kini seakan tidak terbela walaupun mereka menyokong Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya lalu.
Malah, katanya, terdapat terdapat segelintir veteran kini setaraf pekerja asing dengan bekerja sebagai pengawal keselamatan.
“Presiden selaku menteri pertahanan perlu beri perhatian lebih kepada veteran. Hari ini ada 375,000 veteran, dan kebanyakan mereka ini dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) mengundi kita.
“Selain itu, ada 240,000 veteran yang tidak berpencen. Nun jauh di kampung-kampung, kehidupan mereka setaraf pekerja asing warga Nepal dan Bangladesh, disamping mereka ada veteran yang bekerja sebagai pengawal keselamatan,” kata Muhammad, ketika membahaskan ucapan dasar presiden dalam Konvensyen Nasional Amanah 2018, di Ipoh, hari ini.
Fungsi pegawai khas itu katanya adalah menjaga kebajikan veteran dan tidak terikat dengan tugas rasmi Kementerian Pertahanan.

Membahaskan tajuk menjunjung muafakat PH, Muhammad turut mengingatkan kepimpinan Amanah agar menguruskan isu yang timbul dengan segera dan bijak agar tidak menjadi polemik dalam kalangan rakyat.
Beliau berkata, rakyat juga hari ini menjadikan Amanah sebagai sasaran untuk menyuarakan kemarahan mereka disebabkan kegagalan kerajaan PH menunaikan janji manifesto pilihan raya.
“Rakyat marah dengan mereka, Amanah juga jadi mangsa, jadi sasaran. Isu mendasari kehidupan rakyat, seperti Bantuan Sara Hidup (BSH), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), subsidi minyak, tol, dan sebagainya perlu diberi perhatian,” katanya.
Beliau turut meminta pemimpin Amanah bertindak menegur mana-mana menteri daripada parti komponen PH yang sering mengeluarkan kenyataan ‘flip-flop’.
“Tegur perkara seperti ini, walaupun mereka menteri daripada parti lain,” kata Muhammad lagi. – 15 Disember, 2018.
Komen