Politik daun kering orang Sabah


Zainal Rashid Ahmad

POLITIK Sabah sudah lama dianggap politik daun kering. Sinikal dengan sindiran daun kalau ditiup angin akan terbang melayang. Dauh jatuh terlungkup ke tanah dan berubah-ubah alihan mengikut arah angin.

Politik Sabah sudah lama dianggap politik murahan. Cuma, ini bukan salah orang Sabah. Ini sebenarnya sikap murahan ahli politik Sabah. Ini ketara dalam sidang media Rabu lalu.

Apabila lima ahli Parlimen, sembilan Adun, dua senator dan 21 ketua Bahagian Umno mengumumkan keluar parti, permainan cari makan dan cari perlindungan dalam politik Sabah kini bermula. Sebahagian besar nama-nama yang belot pada Umno ini, sudah sangat terkenal di arena nasional.

Dalam senarai itu, tidak ramai yang boleh dihormati sebagai ahli politik tulen. Banyak nama yang hanya berkelas sampah-sarap Umno yang kini mengalir keluar dari longkang busuk dengan membawa kekotorannya sekali. Kita tidak tahu ke mana sampah ini akan pergi.

Sejarah jual beli kuasa dalam politik Sabah sangat panjang. Malah, dalam Umno, seismografi politik Sabah sentiasa bergegar dalam diam sejak parti itu mula bertapak di Sabah pada 1991.

Sejak tiga dekad Umno wujud hasil gabungan Usno dan Berjaya, kes perebutan kuasa dalam diam sentiasa ada.

Umno Sabah sentiasa rumit. Kes sailang (saling memusnahkan karier kerana kepentingan kuasa) adalah kes biasa. Politik Sabah bergegar dalam senyap dan sentiasa penuh dengan pengkhianatan.

Sidang media 12 Disember oleh kumpulan yang keluar parti, adalah bukti Umno bakal mati di Sabah. Kalau hendak dibangunkan semula, Umno perlu menyediakan puluhan, malahan ratusan juta ringgit. Kos berpolitik di Sabah tidak murah. Kerana maruah ahli politiknya perlu dibeli.

Ahli politik Sabah boleh saja melenting dengan kenyataan ini. Namun, marah bukan jalan keluar. Orang yang bermaruah akan memilih menggunakan akal untuk menilai sikap dan berbuatan.

Ada yang melalak sakan dalam sesi sidang media menyatakan sokongan kepada perdana menteri. Padahal dalam arkib berita, simpanan paling penuh ialah rakaman orang yang sama mencela PM ketika menjadi anjing Najib Razak.

Malah, bukan rahsia juga – dalam kalangan yang menyatakan sokongan itu, ada yang sedang berdepan risiko disiasat (atau sudah sebahagian siasatan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana salah laku ketika berkuasa bersama Najib.

Ada yang menyatakan sokongan itu pula tidak hadir sidang media. Malah, sudah enam bulan menghilang pergi tanpa jejak dan khabar berita. Satu-satunya “pelarian politik” dalam sejarah Parlimen Malaysia.

Ringkasnya, selain sampah terdapat banyak bangkai busuk dalam sidang akhbar di Kota Kinabalu semalam. Antara yang jujur dan jahat, foto senarai yang keluar Umno itu tetap berbau busuk dan kotor.

Hanya ada dua saja tanggapan mengenai sidang media itu:

1. Senarai yang terlibat bertindak nekad keluar Umno kerana budaya cari makan dalam politik. Sukar untuk meneruskan hidup ketika lembu Umno tidak lagi bersusu.

2. Ada yang dilingkari masalah atau skandal dan berpotensi diseret ke mahkamah. Rasa kecut perut melihat rakan-rakan di Malaya lebih awal naik turun mahkamah, mereka terpaksa belot demi menyelamatkan diri.

Senario Sabah secara relatif hanya ada dua persepsi ringkas:

1. Cari makan

2. Cari perlindungan

Melihat foto senarai yang keluar Umno itu, terngiang-ngiang dialog :“Orang kita ini tidak susah. Sumbat wang ke mulut biar penuh… diamlah mereka!”

Itu antara ucapan enam mata yang pernah saya dengar ketika bertemu dengan mereka.

Pemimpin ini, orang Sabah yang sangat bongkak – dengan megah menyebut: “Wang adalah alat untuk menutup mulut mereka yang menentang Umno. Wang ialah cara terbaik untuk mengubah sokongan politik terutama artis tanah air.”

Tidak mengapalah. Itu cakap orang yang ada kuasa. Apabila jatuh tersepuk dan lidah digigit gigi sendiri, sekarang cakapnya pasti berubah.

Sabah antara negeri paling awal budaya politik lompat parti berlaku selepas PRU14 lalu. Selepas BN membentuk kerajaan, sekelip mata ia roboh. Enam Adun Umno tiba-tiba melompat ke parti Warisan. Lompat parti di Sabah ialah keputusan politik yang mudah dan murah.

Drama Umno tumbang di Sabah mudah difahami. Parti yang dibangunkan wang akan musnah kerana wang juga. Tanpa kuasa, Umno pusat tidak mampu mengalirkan wang ke Sabah. Tanpa aliran wang, pemimpin mata duitan akan menggelabah.

Sekadar nasihat. Sampah kalau dikutip mana-mana parti lain pun, tetap berbau busuk. Bangkai boleh dicuci. Tetapi otak bangkai tetap busuk. – 15 Disember, 2018.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen