PKR terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti pembangkang demi mewujudkan Parlimen yang kukuh dan proaktif, tetapi mandat rakyat mesti dihormati, kata naib presiden parti Nurul Izzah Anwar.
“Kami akan bekerjasama dengan pembangkang tanpa mengira siapapun mereka.
“Tetapi mandat rakyat pada pilihan raya 9 Mei jelas, dan harus dihormati,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu memberi komen susulan laporan terdapat pihak dalam parti Umno berminat membentuk kerajaan perpaduan dengan PKR dan DAP.
Pelan itu, didakwa diketuai oleh Setiausaha Agung Barisan Nasional dan Ahli Parlimen Umno Mohamad Nazri Aziz, susulan tindakan keluar separuh daripada pemimpin dan ahli Umno Sabah pada Rabu.
Ia juga susulan pendedahan bahawa seorang pemimpin parti terkemuka mengatur pembelotan besar-besaran ahli Parlimen parti di Semenanjung kepada Bersatu, sebuah komponen kerajaan Pakatan Harapan.
Nurul berkata PKR tidak akan membenarkan sebarang cubaan menjejaskan mana-mana parti politik termasuk pembangkang.
“Satu-satunya cara Malaysia boleh ditadbir dengan berkesan adalah melalui kemunculan pembangkang yang berwibawa, profesional, dan mantap yang mampu memantau kuasa eksekutif yang berlebihan,” katanya.
“Inilah yang saya percayai sebagai seorang yang pernah bersama PKR sejak 1999.”
Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi juga dikhabarkan cuba mewujudkan pakatan dengan PKR dan DAP, dan memulakan rundingan dengan Presiden PKR, Anwar Ibrahim dalam usaha mencari tempat untuk Umno dalam kerajaan apabila menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.
Enam Ahli Parlimen Umno keluar parti semalam yang menjadikan parti itu kini hanya tinggal 37 kerusi Parlimen daripada 54 yang dimenangi dalam PRU14.
Nurul berkata “penggubal undang-undang yang berprinsip” tidak akan berfikir tentang melompat parti semasa berdepan saat sukar.

“Politik pasca 9 Mei harus memberi tumpuan kepada dasar dan program untuk menaikkan kesejahteraan ekonomi rakyat.
“Bukannya terhadap usaha yang dimulakan oleh parti tertentu untuk menambah kekuatan politik dan melemahkan peluang terhadap pembangkang yang boleh dipercayai,” katanya.
Ketua Pemuda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad bersetuju dengan pendapat yang ahli Parlimen Umno mempunyai peranan besar dalam pembangunan negara, dan mereka tidak seharusnya merancang untuk berpaling tadah.
“Saya harap banyak pemimpin Umno akan terus bertahan untuk terus memantau kami.
“Mereka mempunyai ruang lebih demokratik, ruang dalam media dan sumber daya berbanding kami ketika menjadi pembangkang,” katanya.
Nurul juga menyokong Khairy Jamaluddin untuk memimpin parti itu, dengan mengatakan bekas ketua Pemuda Umno itu boleh menjadikannya sebagai “pembangkang yang hebat”.
“Survival Umno adalah penting dan saya percaya dengan Khairy memimpin sebagai pembangkang, kita akan memperoleh yang terbaik untuk kepentingan Malaysia,” katanya. – 15 Disember, 2018.
Komen