Kematian tahanan kanak-kanak beri tekanan pentadbiran Trump


Jabatan Keselamatan Dalam Negeri mengesahkan kematian seorang kanak-kanak perempuan meninggal dunia di sebuah hospital di El Paso, Texas kurang 24 jam selepas ditahan menyeberang sempadan New Mexico. – Gambar AFP, 15 Disember, 2018.

KEMATIAN seorang kanak-kanak perempuan Guatemala berusia tujuh tahun minggu lalu dalam tahanan Amerika Syarikat (AS) mencetuskan kegemparan pada Jumaat dan meningkatkan tekanan baru terhadap usaha pentadbiran Trump menghentikan penghijrahan keluarga Amerika Tengah.

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri mengesahkan kematian kanak-kanak itu pada 8 Disember, menyatakan dia meninggal dunia di sebuah hospital di El Paso, Texas kurang 24 jam selepas ditahan dalam sekumpulan 163 pendatang haram di kawasan sempadan New Mexico.

Seorang pegawai Guatemala mengenalinya sebagai Jackeline Caal, yang datang bersama ayahnya, Nery Caal, 29.

Timbalan jurucakap White House, Hogan Gidley menyifatkan kematian Caal sebagai “keadaan mengerikan, tragis,” tetapi juga mengatakan ia boleh dielakkan.

“Ia adalah kematian tidak sepatutnya dan 100% boleh dielakkan,” katanya kepada pemberita.

“Jika kita semua bersama-sama dan menyampaikan perkara logik yang umum untuk menghalang orang daripada datang dari sempadan dan menggalakkan mereka melakukannya dengan cara yang betul dan sah, maka kematian, serangan, jenayah, penyeludupan kanak-kanak, penyeludupan manusia akan berakhir.”

Tetapi Demokrat di Kongres menegaskan dasar pentadbiran yang ketat menyebabkan pendatang cuba menyeberangi sempadan secara haram.

“Ini boleh jadi anak perempuan saya atau anda,” kata ahli kongres yang baru dipilih, Ilhan Omar yang juga pelarian dari Somalia.

Senator Kamala Harris mengutuk kematian “tragis” itu.

“Kita memerlukan laporan menyeluruh tentang apa yang berlaku sebelum kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun itu mati akibat dehidrasi dan keletihan dalam tahanan,” katanya.

Kebanjiran pendatang

Kematian kanak-kanak itu berlaku ketika Presiden Donald Trump berjuang untuk menghalang kemasukan beramai-ramai pendatang yang melarikan diri daripada kemiskinan dan keganasan di Amerika Tengah - dan berusaha mendapatkan persetujuan Kongres bagi bajet membina tembok besar di sebahagian besar sempadan AS-Mexico.

Puluhan ribu pendatang dari Honduras, Guatemala dan El Salvador menuju ke utara dalam tempoh tiga tahun lalu, dengan peningkatan bilangan keluarga dengan kanak-kanak kecil dan tanpa penjaga yang berharap mendapat suaka di AS.

Mereka yang berjaya menyeberang berdepan penangkapan. Kanak-kanak dipisahkan daripada keluarga mereka dan, bersama-sama kanak-kanak tanpa tanpa penjaga yang masuk secara haram, dihantar ke sebuah kem khas.

Kanak-kanak itu ditahan sehingga ahli keluarga atau penaja yang tinggal di AS bersetuju menjaga mereka. – AFP, 15 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen