FACEBOOK memohon maaf pada Jumaat kerana “pepijat” mungkin mendedahkan foto yang tidak disiar daripada 6.8 juta pengguna dalam tempoh 12 hari melalui aplikasi pihak ketiga.
Dalam insiden terbaru berhubung perlindungan data, rangkaian sosial terkemuka itu berkata penggunaan log masuk Facebook dan memberi kebenaran kepada aplikasi pihak ketiga mengakses foto mungkin menyebabkan berlakunya kesilapan antara 13 dan 25 September.
“Apabila seseorang memberi kebenaran kepada aplikasi mengakses foto mereka di Facebook, kami biasanya hanya memberi akses kepada aplikasi bagi foto yang dikongsi pengguna pada ‘timeline’ mereka,” kata pengarah kejuruteraan Tomer Bar dalam mesej kepada pembangun perisian.
“Dalam kes ini, pepijat mungkin memberi pembangun akses kepada foto lain, seperti yang dikongsi di Marketplace atau Facebook Stories.”
Bar menambah pepijat itu juga memberi kesan kepada foto yang dimuat naik ke Facebook tetapi memilih untuk tidak menyiarkannya.
“Kami menyimpan salinan foto itu supaya orang itu memilikinya apabila mereka kembali kepada aplikasi untuk menyelesaikan posting mereka,” katanya.
Bar berkata pengguna yang terjejas akan diberitahu dan diarahkan ke pusat bantuan untuk melihat imej yang mungkin terjejas.
“Kami mohon maaf ini berlaku,” katanya. “Awal minggu depan, kami akan melancarkan alat untuk pembangun aplikasi yang membolehkan mereka menentukan siapa menggunakan aplikasi mereka yang terjejas dengan pepijat ini. Kami akan bekerjasama dengan pembangun untuk memadamkan foto daripada pengguna yang terjejas.”
Facebook berdepan pengawasan lebih ketat terhadap amalan perlindungan datanya beberapa bulan kebelakangan ini, terutama sejak pendedahan mengenai pencerobohan data peribadi puluhan juta pengguna oleh Cambridge Analytica, syarikat konsultan yang menjalankan kempen Donald Trump pada 2016. – AFP, 15 Disember, 2018.
Komen