Tiada kepentingan tubuh RCI kes Memali, kata Muhyiddin


Diyana Ibrahim Asila Jalil

TIADA kepentingan apa-apa untuk Putrajaya menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi membongkar semula peristiwa berdarah Memali kerana siasatannya sudah diputuskan lama dulu, berbanding suruhanjaya menyiasat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang lebih mendesak, kata Muhyiddin Yassin.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjelaskan beliau hairan apa sebabnya kerajaan bersungguh-sungguh hendak menyiasat perkara yang sudah berlalu dan sudah ada kertas putih mengenainya sedangkan ada perkara penting yang perlu didahulukan seperti dalam hal 1MDB itu.

“Saya berpendapat ia seolah-olah berbaur muslihat politik sebab itu kerajaan ghairah mahu tubuhkan RCI. Apa yang rakyat mahukan adalah RCI untuk 1MDB kerana ia bebanan besar yang dihadapi negara yang kehilangan jumlah besar berbilion-bilion,” katanya pada satu sidang media hari ini.

“Sekiranya kerajaan benar-benar ikhlas mencari jawapan kepada isu besar, mengapa tidak tubuhkan suruhanjaya sebagaimana yang dinyatakan tadi? Yang itu pada saya lebih utama,” tambahnya, sambil mengingatkan kenyataannya itu bukanlah bermakna beliau menganggap apa yang berlaku di Memali pada November 1985 itu perkara kecil.

Menurut Muhyiddin, kalau kerajaan menjadikan kehendak rakyat sebagai alasan kenapa isu-isu lama dibongkar dan disiasat sekarang, ia sepatutnya mendahulukan siasatan terhadap 1MDB kerana itulah sebenarnya yang rakyat mahukan.

“Kenapa kerajaan tidak bersedia untuk buat RCI padahal tuntutan begitu banyak, ramai pihak yang kemukakan (agar) siasatan 1MDB dijalankan.

“Jadi jalan terbaik ialah tubuhkan RCI untuk siasat 1MDB. Siasatlah tentang dakwaan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, tentang kaitan Malaysian Official No 1 dan  Riza Aziz,” katanya.

Isu RCI Memali timbul selepas Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi pada 20 Ogos lalu berkata kerajaan sedia menubuhkan RCI untuk menyiasat pristiwa Memali sekiranya ada permintaan daripada mana-mana pihak termasuk keluarga mangsa.

Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata keadilan perlu ditegakkan dan orang yang bertanggungjawab terhadap peristiwa itu mesti dipertanggungjawabkan.

“Saya selaku Menteri Dalam Negeri akan meneliti sendiri semua laporan mengenai peristiwa tersebut,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Bukit Gantang.

Zahid yang juga Naib Presiden Umno berkata dalam menegakkan undang-undang semua pihak perlu mengetepikan perbezaan politik.

Peristiwa Memali pada 19 November 1985 menyaksikan 18 orang termasuk empat anggota polis terbunuh dan ramai lagi cedera ketika polis melancarkan operasi menangkap guru agama, Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali dengan nama Ibrahim Libya.

RCI kini dibentuk bagi bagi menyiasat kerugian ditanggung Bank Negara Malaysia (BNM) dalam urus niaga tukaran mata wang asing lebih 10 tahun lalu yang diketuai pengerusi Petronas, Mohd Sidek Hassan.

Siasatan itu akan menentukan kesahihan dakwaan kerugian BNM disebabkan spekulasi tukaran mata wang asing; menentukan sama ada aktiviti BNM dalam perdagangan forex melanggar Ordinan Bank Pusat 1958 atau mana-mana undang-undang lain; dan menentukan sama ada wujudnya cubaan untuk melindungi kerugian itu. – 22 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen