Ahli politik jihadis ditahan, tunjuk perasaan meletus di Somalia 


Selain ancaman militan, pergolakan politik di Somalia turut menyaksikan insiden huru-hara di negara itu. – Gambar EPA, 14 Disember, 2018.

PENUNJUK perasaan membanjiri jalan-jalan Baidoa di barat daya Somalia untuk hari kedua hari ini, bagi membantah penangkapan seorang bekas pemimpin militan Islam yang bertanding merebut jawatan presiden serantau.

Tayar dibakar, jalan raya dihalang dan bunyi tembakan kedengaran apabila polis cuba memecah himpunan beratus-ratus penunjuk perasaan yang marah di bandar raya itu di mana pilihan raya presiden serantau akan diadakan pada 19 Disember.

Muktar Robow, yang keluar dari pergerakan jihad Shabaab tahun lalu, ditahan pihak berkuasa kerajaan pada hari Khamis, di atas tuduhan “menubuhkan pergerakan militan” dan berusaha untuk “melemahkan kestabilan”. Beliau diterbangkan ke ibu kota Mogadishu.

Demonstrasi meletus sejurus selepas penangkapannya dan diteruskan pada hari Jumaat.

“Keadaan ini tegang, dan demonstrasi semakin besar,” kata Adaf Mumin, warga Baidoa. “Masih ada tembakan polis yang cuba memecahkan himpunan itu. Seluruh bandar dalam keadaan huru-hara.”

Beberapa penunjuk perasaan melambai poster Robow dan membakar imej Presiden Mohamed Abdullahi Mohamed yang mereka tuduh mencampuri hal ehwal persekutuan negara itu.

Abdulkadir Shekhuna, yang bertindak sebagai presiden serantau Barat, berkata, “Mereka yang keluar tunjuk perasaan, bilangannya kecil dan menentang kestabilan negara, kami telah arahkan pihak polis untuk mengembalikan kestabilan undang-undang dan ketenteraman.” – AFP, 14 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen