Kumpulan bersenjata serang mahkamah di Benghazi


MAHKAMAH utama di timur bandar Benghazi, Libya diserang sekumpulan lelaki bersenjata yang tidak dikenali pada Khamis ketika mereka cuba membebaskan banduan, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan Persatuan Hakim-Hakim Libya.

“Satu kumpulan yang tidak dikenali telah menyerang ibu pejabat dan mahkamah utama dengan senjata sederhana dalam satu percubaan untuk mengganggu tugas-tugas kehakiman, membebaskan banduan secara paksa serta menghalang tugas mahkamah,” menurut kenyataan itu.

“Persatuan Hakim-Hakim Libya mengutuk serangan itu. Ia mengutuk sekeras-kerasnya ketidakstabilan keselamatan dan ketidakupayaan agensi-agensi rasmi negara untuk menjalankan tugas mereka, yang akhirnya akan menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap institusi rasmi,” katanya.

Justeru, persatuan itu menggesa kerajaan mengambil langkah sewajarnya untuk memberikan jaminan keselamatan kepada orang ramai dan institusi awam.

Kelemahan dari segi keselamatan dan kekurangan anggota polis telah menyebabkan berlakunya insiden banduan meloloskan diri.

Insiden banduan lari yang terbesar berlaku pada September di Tripoli apabila lebih 400 tahanan memboloskan diri dari penjara ketika berlaku pertempuran antara tentera kerajaan dan militia bersenjata. – Bernama, 14 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen