Presiden Palestin salahkan Israel keganasan meningkat


Pejabat presiden itu menegaskan dasarnya yang sentiasa menentang keganasan, pencerobohan dan kekejaman pendatang haram Yahudi serta dasar yang tidak menyumbang ke arah memburukkan lagi keadaan. – Gambar EPA, 14 Disember, 2018.

PEJABAT Presiden Palestin menyalahkan Israel terhadap peningkatan keganasan yang menyaksikan korban di kedua-dua belah pihak, lapor agensi berita Palestin WAFA.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, pejabat presiden itu menegaskan dasarnya yang sentiasa menentang keganasan, pencerobohan dan kekejaman pendatang haram Yahudi serta dasar yang tidak menyumbang ke arah memburukkan lagi keadaan.

Agensi Berita Xinhua melaporkan kenyataan itu dikeluarkan ketika Israel mengepung Ramallah pada Khamis selepas berlaku pencerobohan berulang-ulang di Tebing Barat sejak dua hari lalu.

Jurucakap tentera Israel, Avichai Adarei mengisytiharkan perintah kepungan ke atas Ramallah dan mengerah askar tambahan di beberapa lokasi di bandar Ramallah selepas kejadian tembak menembak yang menyebabkan dua Israel terbunuh dan dua lagi parah di simpang utama dekat Givat Asaf.

Sementara itu, sumber Palestin menyatakan tiga pemuda dibunuh tentera Israel di Ramallah dan Nablus Rabu malam dan Baitulmaqdis Timur pada subuh Khamis. – Bernama, 14 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen