Zahid masih setiausaha politik saya, kata Dr Mahathir


SM Amin

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Setiausaha Politiknya Zahid Md Arip belum dibuktikan bersalah dan masih kekal jadi orang kanannya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 14 Disember, 2018.

ZAHID Md Arip akan kekal sebagai setiausaha politik kepada perdana menteri (Setpol) selagi tidak didapati melakukan sebarang salah laku, kata Dr Mahathir Mohamad. 

“Tunggulah. Baru tuduhan sahaja. Betul atau tidak kita tidak tahu. 

“Tuduh sahaja masih berkhidmat. Jika sudah terbukti bersalah baru tidak lagilah,” katanya. 

Perdana Menteri mengulas situasi terbaru apabila nama Zahid disebut dalam sembilan daripada 10 pertuduhan terhadap bekas pengerusi Felda Isa Samad hari ini. 

Pada Ogos 2017, Zahid yang merupakan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu direman bagi membantu siasatan ke atas Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).

Isa, 69, hari ini mengaku tidak bersalah terhadap satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan rasuah melibatkan pembelian Merdeka Hotel & Suites di Kuching, Sarawak.

Isa didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan bagi kesalahan pecah amanah dan Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi dakwaan rasuah, atas  kapasitinya sebagai pengarah FIC berhubung pembelian hotel itu pada harga RM160 juta tanpa kelulusan lembaga pengarah Felda.

Menurut kertas pertuduhan, Zahid dikatakan jadi orang tengah antara Isa dan Ikhwan Zaidel, pengarah Gagasan Abadi Properties Sdn Bhd, syarikat pemilik hotel berkenaan yang didakwa menyogok bekas pengerusi Felda itu.

Rasuah yang didakwa disogok antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015 itu bertujuan memudahkan urusan jual beli hotel berkenaan.

Beliau yang merupakan bekas aktivis Reformasi 1998 kemudiannya menyertai Bersatu sebelum Pilihan Raya Umum ke-14. Beliau diletakkan sebagai calon Pakatan Harapan bertanding di kerusi Parlimen Pekan, mencabar Najib Razak.

Zahid yang dihubungi The Malaysian Insight sebelum ini enggan mengulas pertuduhan di mahkamah itu kerana akan memprejudiskan kes yang sudah dibawa ke mahkamah.

“Saya tidak boleh komen apa-apa kerana isu ini sudah di bawa ke mahkamah. Prejudis.

“Sejak dipanggil oleh SPRM pada Ogos tahun lepas, saya tidak tahu perkembangan apa-apa. Itu kali terakhir,” katanya ringkas ketika dihubungi The Malaysian Insight. – 14 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen