PENASIHAT DAP tidak membantah tindakan ahli-ahli Parlimen Umno menyertai Bersatu kata Pengerusi Bersatu Dr. Mahathir Mohamad.
Dr. Mahathir berkata bukan semua ahli Umno jahat dan Bersatu hanya menerima mereka yang baik sahaja.
“Lim Kit Siang setuju (perkara itu). Orang Umno yang baik pun ada, yang jahat pun ada. Yang jahat kita tidak terima.
“Saya sendiri ahli Umno dulu, Kit Siang terima saya. Ini bukan pasal ahli tetapi apa yang kita buat,” katanya ketika ditemui media di Pusat Kesenian Islam Kuala Lumpur hari ini.
Ketika berita mengenai Ahli Parlimen Umno yang meninggalkan parti itu dan menyertai Bersatu hangat dibicarakan, Lim sebelum ini memperingatkan kepimpinan PH mengenai tindakan tergesa-gesa menerima individu-individu tersebut.
Veteran DAP itu berkata mereka yang mahu menyertai PH mesti terlebih dahulu “bertaubat” kerana pernah menyokong bekas perdana menteri Najib Razak.
Beliau juga mengatakan bahawa tanpa adanya undang-undang anti-lompat parti yang memerlukan seorang wakil rakyat yang dipilih harus bertanding dalam pilihan raya semula apabila keluar parti, para pemimpin parti politik pemerintah perlu bijak bagi memastikan integriti individu politik yang mereka terima sebagai ahli baru. – 14 Disember, 2018.
Komen