PAS tak gentar sebarang pendedahan RCI


Diyana Ibrahim

Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan berkata parti itu sudah menghadapi segala-galanya sejak lebih 30 tahun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Ogos, 2017.

PAS tidak gentar terhadap apa juga kemungkinan yang bakal terdedah sekiranya kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat semula peristiwa Memali kerana parti Islam itu sudah menghadapi segala-galanya sejak lebih 30 tahun lalu, kata ketua penerangan parti itu, Nasrudin Hassan.

Malah beliau juga turut membidas kenyataan bekas ketua polis negara Abdul Rahim Noor yang mendakwa Presiden PAS Abdul Hadi Awang menjadi punca insiden Memali itu tercetus dengan berkata ia mungkin tindakannya untuk mengalihkan isu kerana ingin  mempertahankan ‘tuannya’.

“Belum tubuh RCI lagi dah sebut apa yang bakal terdedah? RCI bukan seperti agen siasatan di kaki lima, belum apa-apa terus membuat andaian,” katanya kepada The Malaysian Insight menerusi balasan aplikasi Whatsapp.

Walau tidak menamakan siapa ‘tuan’ yang dimaksudkan oleh Nasrudin itu, tapi jelas beliau merujuk kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir merupakan perdana menteri semasa peristiwa Memali, kini mengetuai gabungan pembangkang Pakatan Harapan. Hadi pula, selepas membawa PAS memutuskan kerjasama dengan parti-parti pembangkang, kini dilihat senada dengan Umno dalam banyak perkara menuju Pilihan Raya Umum ke-14.

Rahim berkata dakwaannya itu terhadap Hadi adalah kerana ucapan Hadi dalam sebuah ceramah pada 1981 yang mempengaruhi Ibrahim Mahmud atau Ibrahim Libya dan pengikut-pengikutnya sehingga terjebak melakukan kegiatan yang mengancam keselamatan negara. Ucapan itu terkenal dengan gelaran “Amanat Hadi”. 

Tambah Nasrudin, PAS sedia memberikan kerjasama penuh kepada pihak RCI apabila dibentuk kelak namun tidak menjawab adakah ia bermakna Hadi sanggup hadir sebagai saksi ketika siasatan dijalankan.

“Justeru PAS menekankan soal ketelusan dan keadilan di tahap tertinggi dengan menyediakan pasukan penyiasat yang bebas dan berintergriti,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan pemimpin veteren politik DAP, Lim Kit Siang yang meminta Hadi menjadi saksi mengenai peristiwa Memali yang membunuh 18 orang sekiranya kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja. 

Sejarah Memali lebih tiga dekad itu muncul semula selepas Hadi mendakwa kekecohan semasa forum “Nothing to Hide 2.0” baru-baru ini tercetus kerana jawapan Dr Mahathir berkenaan peristiwa Memali tidak memuaskan hati hadirin.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi minggu lalu kemudiannya mengumumkan kerajaan bersedia menubuhkan RCI untuk menyiasat peristiwa Memali sekiranya ada permintaan daripada mana-mana pihak termasuk keluarga mangsa. – 22 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen