SEORANG kanak-kanak berusia tujuh tahun meninggal dunia ketika berada dalam tahanan Amerika Syarikat (AS) selepas ditahan oleh polis sempadan AS di New Mexico, lapor The Washington Post semalam.
Kanak-kanak itu, yang menyeberangi sempadan dari Mexico bersama bapa dan dan berpuluh-puluh yang lain, meninggal dunia pada minggu lepas akibat “dehidrasi dan kejutan”, kata Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP), petik akhbar itu.
“Dia dilaporkan tidak makan atau minum selama beberapa hari,” CBP memberitahu Post sambil menambah kanak-kanak itu mengalami sawan lebih daripada lapan jam selepas ditahan polis sempadan.
Menurut akhbar itu lagi, pegawai kecemasan berkata suhu kanak-kanak itu mencecah 41 darjah Celcius dan meninggal dunia selepas dikejarkan ke hospital.
Nama kanak-kanak malang itu dan bapanya tidak didedahkan.
Bapanya kini berada di El PAso, Texas untuk disoal siasat pegawai konsulat Guatemala. – AFP, 14 Disember, 2018.
Komen