Tentera Israel tahan 40 rakyat Palestin


Tentera Israel berkawal di tempat kejadian serangan yang meragut nyawa dua tentera pada Khamis. – Gambar EPA, 14 Disember, 2018.

TENTERA Israel menahan 40 rakyat Palestin di seluruh Tebing Barat dalam tempoh semalaman dalam serbuan memburu suspek serangan maut, kata pihak tentera pada Jumaat.

Suspek itu melarikan diri selepas membunuh dua orang tentera Israel dekat penempatan Yahudi. Kejadian pada Khamis itu merupakan yang ketiga dalam tempoh dua bulan di Tebing Barat yang diduduki Israel sejak lebih 50 tahun lalu.

Susulan kejadian itu, tentera melakukan serbuan di bandar Ramallah, bandar pangkalan Presiden Palestin Mahmud Abbas dan juga di tempat-tempat lain.

“Tentera menangkap 40 suspek yang dikehendaki kerana terlibat dalam kegiatan keganasan dan rusuhan ganas yang disasarkan kepada orang awam dan pasukan keselamatan,” petik kenyataan tentera.

Menurut laporan 37 daripada mereka adalah anggota Hamas, iaitu kumpulan Islam yang mendakwa melakukan serangan tembakan baru-baru ini.

Bagaimanapun, tentera tidak membuat sebarang pengumuman mengenai tangkapan yang ada kaitan dengan serangan pada Khamis.

Sekitar 600,000 rakyat Israel tinggal di Tebing Barat termasuk timur Baitulmaqdis. – AFP, 14 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen