Menantu Trump mungkin bakal ketua kakitangan White House


Jared Kushner, penasihat berpengaruh di White House yang juga suami kepada anak perempuan Trump, Ivanka bertemu pemimpin Republikan bagi membincangkan jawatan tersebut, menurut Huffington Post. – Gambar fail EPA, 14 Disember, 2018.

MENANTU dan penasihat kanan Donald Trump, Jared Kushner berada dalam senarai pendek calon yang berpotensi bagi jawatan ketua kakitangan presiden Amerika Syarikat (AS) itu, kata media AS semalam.

Kushner, penasihat berpengaruh di White House yang juga suami kepada anak perempuan Trump, Ivanka bertemu pemimpin Republikan bagi membincangkan jawatan tersebut, menurut Huffington Post.

“Saya tidak tahu yang beliau sedang dipertimbangkan, tetapi saya fikir semua orang tahu beliau hebat dalam apa saja peranan yang presiden berikan kepadanya,” kata jurucakap Rumah Putih, Sarah Sanders mengenai perkara itu, lapor CBS.

Trump kini sedang mencari calon ketua kakitangan baru selepas mengumumkan John Kelly akan melepaskan jawatan itu akhir tahun ini.

Kushner memainkan peranan penting dalam rundingan dengan Kanada dan Mexico untuk mengekalkan pakatan perdagangan bebas antara negara-negara Amerika Utara.

Beliau juga mengetuai usaha merangka pelan damai Timur Tengah yang menurut pentadbiran Trump akan didedahkan pada awal 2019.

Kushner, 37, juga rapat dengan dengan Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman yang dituduh terlibat dalam pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi. – AFP, 14 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen