Beras tempatan terancam racun seludup?


Sheridan Mahavera

HAMPARAN sawah padi terbentang luas di Kedah dan Perlis menyembunyikan rahsia yang mengundang bahaya. Rahsia itu ada dalam setiap pinggan rakyat Malaysia yang makan nasi daripada beras tempatan.

Sejak enam atau tujuh tahun lalu, pesawah di dua negeri itu menabur racun makhluk perosak haram yang diseludup dari China untuk menghapuskan siput gondang.

The Malaysian Insight bertemu dengan lapan pesawah di Kedah dan Perlis baru-baru ini yang mengaku menggunakan racun tersebut, yang dikenali dengan nama “bai luo di” (gambar kanan). Racun itu dijual secara sembunyi di kedai barangan pertanian di kawasan tersebut.

Paket racun seludup itu menyenaraikan fentin acetate sebagai bahan aktifnya iaitu 45% serbuk boleh larut. Ia dikeluarkan dengan jenama Heben. Dalam tulisan Mandarin pada paket tertulis racun berkenaan mempunyai tahap keracunan sederhana.

“Kami terpaksa menggunakan racun itu kerana racun yang dibekalkan kepada kami oleh Mada (Lembaga Pembangunan Pertanian Muda) tidak berkesan pada siput gondang,” kata seorang pesawah di Kedah tengah yang enggan dikenali.

Semua penanam padi yang beliau kenal di kawasannya menggunakan racun yang sama.

Mada sebuah agensi yang diberi tugas membantu lebih 52,000 pesawah di kawasan jelapang padi, yang membekalkan 40% beras yang dimakan di negara ini.

Madamengaku penggunaan racun seludup itu satu masalah. Ia sedang bekerjasama dengan petani untuk menghentikan penggunaan racun tersebut.

Mada dan petani yang diwawancara mengaku racun seludup itu bahaya, serta ada kemusykilan tentang kesannya ke atas keselamatan makanan melibatkan beras yang terhasil di sawah yang tercemar.

“Pihak Mada tidak menjalankan kajian secara saintifik terhadap keselamatan beras. Namun, keselamatan beras juga akan terdedah dengan penggunaan racun yang berlebihan dan tanpa kawalan terutamanya racun-racun yang tidak berdaftar,” kata agensi itu dalam satu kenyataan.

“Menurut kajian yang dijalankan oleh The International Rice Research Institute (IRRI), penggunaan fentin acetate (bahan aktif dalam racun seludup) dalam pengawalan siput gondang adalah beracun terhadap tanaman padi tabur terus. 

“Penggunaan racun ini juga membantutkan anak pokok selain mengurangkan kadar berat kering pokok dan akar padi.

“Namun, tiada kajian yang jelas berkenaan penggunaan racun ini terhadap keselamatan beras.”

Kerajaan memberikan baucer RM200 kepada pesawah untuk membeli racun makhluk perosak dan racun rumpai. Bantuan itu diberikan pada setiap musim di bawah skim insentif pengeluaran padi (SIPP). Racun ini termasuk untuk melawan siput gondang.

“Cara penggunaan racun yang tidak mengikut sukatan dan kaedah yang betul sebab utama mengapa racun ini dianggap tidak memberi kesan kepada siput gondang,” kata Mada.

“Racun-racun yang terdapat dalam SIPP telah mendapat kelulusan dan terbukti berkesan oleh Jawatankuasa Teknikal Bantuan Kerajaan kepada Industri Padi & Beras, dan Lembaga Racun Makhluk Perosak melalui Akta Racun Makhluk Perosak 1974.”

Siput gondang yang merosakkan padi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Disember, 2018.

Seorang pesawah di Kedah mendakwa racun seludup dari China lebih mudah digunakan dan lebih berkesan berbanding yang dibekalkan oleh kerajaan.

“Dengan racun kerajaan kita perlu pakai sampai tujuh atau 10 hari sebelum tabur benih. Dengan racun China kita guna sehari saja sebelum tabur.”

Pesawah itu mengaku tidak tahu ancaman kesihatan racun itu kepadanya dan pengguna.

“Kita tak tahu apa dia dalam racun tu. Setakat ini kami pesawah tak ada kesan apa-apa. Tetapi kami pun tak tahu selamat atau tidak.

“Kerajaan kena buat sesuatu sebab kami kena guna racun ini.”

Menurut Mada, racun seludup dianggap mempunyai bahan punca kanser Kategori 2 dan berbahaya kepada hidupan air.

Agensi itu menambah fentin acetate boleh menjejaskan kesuburan dan menyebabkan masalah kulit, serta kesukaran bernafas bagi mereka yang mengendalikannya.

“Pihak Mada sentiasa menjalankan kempen kesedaran dan kempen kaedah pengawalan perosak secara bersepadu bagi mengurangkan penggunaan bahan kimia dalam penanaman padi,” kata agensi itu.

“Akan tetapi, penggunaan racun siput gondang yang diseludup tetap menjadi pilihan atas beberapa faktor terutamanya faktor harga jualan yang murah dan keberkesanan.”  – 23 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen