POLIS Perancis pada Khamis menembak mati seorang lelaki bersenjata yang melarikan diri selepas membunuh tiga orang di pasar Krismas terkenal di Strasbourg.
Lebih 700 anggota pasukan keselamatan Perancis memburu Cherif Chekatt, 29, sejak insiden berdarah pada malam Selasa lalu.
Beliau dipercayai cedera selepas berbalas tembakan dengan beberapa tentera semasa serangan itu, tetapi berjaya melarikan diri dan tidak kelihatan sejak keluar dari sebuah teksi di kawasan Neudorf di utara Perancis.
Beberapa minit sebelum ditembak mati, sebuah helikopter dengan lampu pencarian terbang ke atas Neudorf.
Menteri Dalam Negeri, Christophe Castaner memberitahu pemberita polis menyerbu suspek selepas kelibatnya dilihat berada di jalanan.
Pegawai cuba menangkapnya, tetapi beliau menembak ke arah polis. “Mereka segera melepaskan tembakan dan menumpaskan penyerang itu,” kata Castaner.
Puluhan kenderaan polis bertumpu di kawasan tangkapan itu sambil menyaksikan anggota polis bertepuk tangan selepas tembakan itu. Ada yang melaungkan “Bravo!” ketika orang ramai berkumpul, kata seorang sumber.
Polis di beberapa negara lain sebelum ini menyertai pemburuan Chekatt, seorang penduduk tempatan dan penjenayah dengan sekurang-kurangnya 27 sabitan di empat negara di Eropah.
Pihak berkuasa menyiarkan gambar Chekatt petang Rabu dengan polis menggambarkannya sebagai berbahaya dan mendesak orang tidak menghampirinya.
Polis menahan individu kelima ditahan untuk disoal siasat pada hari Khamis, selain ibu bapa dan dua adik beradik suspek yang ditahan sejak Rabu.
Pasar Krismas Strasbourg dijangka dibuka semula pada Jumaat.
Presiden Perancis Emmanuel Macron melahirkan “solidariti seluruh negara” terhadap mangsa serangan ketika beliau tiba untuk sidang kemuncak Eropah di Brussels pada Khamis. – AFP, 14 Disember, 2018.
Komen