PSM putuskan minggu ini, bertanding atau tidak di Cameron Highlands


Noel Achariam

Bekas ahli Parlimen Sungai Siput yang juga AJK pusat PSM Dr Michael Jeyakumar berkata keputusan sama ada bertanding atau tidak pada PRK Cameron Highland akan dibuat hujung minggu ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Disember, 2018.

PARTI Sosialis Malaysia (PSM) akan membuat keputusan sama ada akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands atau tidak, hujung minggu ini, kata Dr Michael Jeyakumar.

Ahli jawatankuasa pusat PSM itu berkata mereka akan mengadakan mesyuarat pada Sabtu bagi membincangkan kemungkinan dan menilai peluang kemenangan.

“Ini akan dibincangkan pada mesyuarat bulanan jawatankuasa pusat, sama ada hendak bertanding atau tidak,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Kami juga akan melihat peluang kemenangan, yang kelihatan tidak begitu baik.

“Jika terlalu banyak orang yang memikirkan kami akan memecahkan undi dan merosakkan peluang Pakatan Harapan, maka mungkin kami tidak akan bertanding.”

Kerusi Parlimen Cameron Highlands kosong selepas Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan ia kosong dalam petisyen terhadap penyandang daripada MIC, C Sivarraajh selepas bukti menunjukkan beliau memberi rasuah kepada pengundi Orang Asli ketika bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu.

Presiden MIC S Vigneswaran berkata mereka tidak akan merayu keputusan mahkamah itu, dan parti akan meletakkan Sivarraajh sekali lagi, walaupun terdapat tuduhan rasuah terhadapnya.

Pada PRU14, B. Suresh Kumar yang bertanding atas tiket PSM hanya mendapat 680 undi, di tempat keempat dalam pertandingan lima penjuru di Cameron Highlands.

Sivarraajh menang kerusi itu dengan 10,307 undi, dengan majoriti 597 undi menewaskan M Manogaran daripada PKR dan beliau kemudian memfailkan petisyen terhadap keputusan pilihan raya itu.

Manogaran menang 9,710 undi, calon PAS Wan Mahadhir Wan Mahmud menerima 3,587 undi dan Mohd Tahir Kassim daripada Berjasa, 81 undi.

PSM juga sekutu Pakatan harapan (PH) tetapi bergelut dengan gabungan itu untuk beberapa kerusi sebelum ini ketika berdepan dengan Barisan Nasional.

Jeyakumar sebelum ini berkata PSM secara rasmi memohon untuk menyertai Pakatan Rakyat sebelum ini, tetapi tidak dilayan.

Parti sosialis itu tidak menang sebarang kerusi pada PRU14. Malah, Jeyakumar yang juga ahli Parlimen Sungai Siput selama dua penggal, tewas pada PRU14.

Jeyakumar berkata PSM mungkin akan bertanding di Cameron Highlands jika ia mahu mesej sosialis mereka didengar rakyat seluruh negara menerusi kempen mereka.

“Apa yang kami mahu ialah mencetuskan kesedaran tentang apa yang sedang berlaku dalam negara seperti pekerja dibebani kerja berlebihan dan isu lain,” katanya. – 13 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen