Pengarang portal berita Singapura didakwa fitnah kerajaan


SEORANG pengarang laman web Singapura didakwa atas pertuduhan memfitnah hari ini kerana menyiarkan surat mendakwa berlaku rasuah dalam kalangan pemimpin negara.

Kumpulan hak asasi manusia mengkritik tindakan itu sebagai tindak balas berat daripada pihak berkuasa.

Singapura sejak sekian lama dikritik kerana menyekat kebebasan bersuara dan hak politik, selain mengenakan tindakan saman terhadap pengkritik.

Negara hab kewangan itu pada masa ini ditarafkan sebagai negara paling kurang rasuah di dunia dan pemimpinnya sangat sensitif tentang tuduhan rasuah.

Terry Xu didakwa di mahkamah kerana memfitnah menteri kerajaan selepas laman webnya The Online Citizen menyiarkan satu surat menyatakan wujud rasuah dalam kalangan eselon teratas dalam kerajaan Singapura, menurut dokumen mahkamah.

Polis merampas komputer dan perkakasan lain yang digunakan untuk mengendalikan laman web itu dari kediaman Xu selepas menerima aduan.

Laman web itu dihentikan penyiaran sementara tetapi kini sudah beroperasi semula.

Xu berdepan hukuman penjara dua tahun atau denda, atau kedua-duanya.

Penulis surat itu, Daniel De Costa Augustin juga didakwa dengan tuduhan fitnah dan melanggar undang-undang jenayah komputer kerana menghantar sesuatu daripada akaun email seseorang tanpa kebenaran.

Surat Augustin disiarkan pada September menggunakan nama “Willy Sum”, dan tidak menyebut sebarang nama yang dikatakan terbabit dalam rasuah itu atau memberikan bukti perbuatan itu. – AFP, 13 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen