SEBUAH tugu ikon kemerdekaan India Mahatma Gandhi dialihkan dari universiti paling berprestij di Ghana selepas banyak aduan diterima bahawa Gandhi rasis terhadap rakyat Afrika.
Bekas presiden India Pranab Mukherjee meletakkan tugu ikon keamanan dunia itu di University of Ghana di Accra, dua tahun lalu sebagai simbol ikatan antara dua negara.
Tetapi sekumpulan pensyarah kemudian memulakan petisyen mendesak ia dialihkan, memetik beberapa perenggan ditulis oleh Gandhi mendakwa India “jauh lebih unggul” berbanding Afrika berkulit gelap.
Bantahan itu dibuat secara online.
Tugu Gandhi di kampus Legon di Accra itu dialihkan pada Selasa malam, kata pelajar dan pensyarah.
Ketua Institut Pengajian Afrika Obadele Kambon berkata turunnya tugu itu berkait dengan “kehormatan diri”.
“Jika kita tunjuk yang kita tidak hormat pada diri sendiri dan pandang rendah terhadap wira kita dan memuji orang lain yang tidak menghormati kita, maka akan ada masalah,” katanya.
“Jika kita tidak hormati wira kita, bagaimana dunia menghormati kita? Ini kemenangan untuk maruah masyarakat kulit hitam dan kehormatan diri. Kempen itu berbaloi.”
Pada masa ini wujud kempen di Malawi yang cuba menghentikan tugu Gandhi dinaikkan di ibu kota Blantyre, turut mendakwa pemimpin itu rasis terhadap orang kulit hitam.
Walaupun Gandhi sering dikenang kerana pendekatan tanpa keganasan terhadap pemerintahan penjajah Britain di negaranya India, legasinya di Afrika lebih bercampur aduk.
Beliau tinggal dan bekerja sebagai peguam di Afrika Selatan dari 1893 hingga 1915. – AFP, 13 Disember, 2018.
Komen