Pentagon bidas Turki lakukan misi ketenteraan di timur laut Syria


Pentagon membidas misi ketenteraan sepihak yang dirancang Turki di timur laut Syria dan menyifatkannya sebagai tidak boleh diterima. – Gambar fail AFP, 13 Disember, 2018.

JABATAN Pertahanan Amerika Syarikat (AS) semalam membidas misi ketenteraan sepihak yang dirancang Turki di timur laut Syria dan menyifatkannya sebagai tidak boleh diterima.

Terdahulu agensi berita Xinhua melaporkan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan berkata negaranya akan melancarkan operasi ketenteraan di timur Sungai Euphrates di Syria dalam masa beberapa hari lagi.

Jurucakap Pentagon, Komander Sean Robertson berkata dalam satu kenyataan, “tindakan ketenteraan sepihak di timur laut Syria oleh mana-mana pihak, khususnya dengan kemungkinan kehadiran tentera AS sesuatu yang membimbangkan.

“Ia tindakan yang tidak boleh diterima. Rundingan antara AS sebagai sekutu NATO dan Turki, satu-satunya cara bagi menjamin pengurusan sempadan yang baik dan penyelarasan operasi ketenteraan tidak menggugat kepentingan bersama.”

Tentera AS dan Turki pada bulan lepas memulakan rondaan bersama di rantau Manbij di utara Syria.

Dalam satu langkah berasingan, Setiausaha Pertahanan AS, James Mattis, berkata pada 21 November bahawa tentera AS sedang menubuhkan jawatankuasa pemantau di sepanjang sempadan Turki-Syria, yang dilihat untuk mengurangkan ketegangan dengan Turki.

Bagaimanapun, usaha seperti itu sia-sia apabila pada bulan lepas pasukan Tentera Turki menyerang kedudukan Unit Perlindungan Rakyat Kurdish (YPG) di timur Euprat di utara Syria bulan lepas. – Bernama, 13 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen