Shafie nafi beri ganjaran pada ketua negeri


Jason Santos

Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal menafikan khabar angin bahawa memansuhkan had dua penggal ketua negeri Sabah adalah perjanjian rahsia antaranya dengan Yang di-Pertua Negeri Juhar Mahiruddin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Disember, 2018.

SHAFIE Apdal menafikan khabar angin bahawa memansuhkan had dua penggal ketua negeri Sabah adalah perjanjian rahsia antaranya dengan Yang di-Pertua Negeri Juhar Mahiruddin.

Shafie berkata langkah itu bukan dibuat sebagai membalas tindakan Juhar melantiknya sebagai ketua menteri, berbanding bekas ketua menteri Musa Aman, selepas pilihan raya umum 9 Mei lalu.

“Kebenarannya ialah Warisan sudah pun mendapat majoriti pada malam 10 Mei.

“Tidak ada perjanjian antara saya dan Juhar. Juhar memanggil semua Adun dan menemu bual mereka satu demi satu. Beliau tanya Benedick (Upko-Kadamaian), Abidin Madingkir (Upko-Panginatan) dan semua memberi sokongan kepada Warisan-PH,” kata Shafie pada persidangan khas DUN Sabah hari ini.

Musa yang mulanya mengangkat sumpah sebagai ketua menteri pada 10 Mei selepas BN Sabah menang 29 kerusi di DUN yang mempunyai 60 kerusi itu. Warisan diketuai Shafie, bersama parti komponen Pakatan Harapan (PH) juga menang 29 kerusi.

Bagaimanapun, beberapa wakil rakyat BN lompat parti yang memberikan Warisan majoriti dan membawa kepada pelantikan Shafie sebagai ketua menteri, dua hari kemudian dan mengangkat sumpah di hadapan Juhar.

Awal hari ini, DUN Sabah memansuhkan had dua penggal selepas lebih dua jam perbahasan berlangsung terhadap usul kerajaan untuk meminda perlembagaan negeri itu. – 13 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen