Melayu jadi agama, Islam jadi bangsa


Mohd Syazreen Abdullah

BANGSA tidak mulia di sisi Tuhan. Itulah kata si guru. Saya ingat lagi, ramai tidak senang dengan jawapan itu. Tuhan suka bangsa apa? Tanya si guru. Tanpa ragu, mereka menjawab tentulah bangsa Arab. Hampir majoriti menjawab demikian. Tidak mungkin mereka sebut Melayu. Saya orang Melayu – hanya mampu tunduk kerana tenggelam dek suara majoriti Arab. 

Sebagai pelajar Melayu di kuliah pengajian sebuah universiti di Jordan, saya tidak terlintas untuk menjerit – Melayu. Jauh sekali bersetuju dengan jawapan “Arab” kononnya bangsa yang dimuliakan Tuhan. Jadi, saya diam. Sesekali menoleh, tampak riak dan bangga berakar di wajah mereka.  

Sudah tentu bahasa Arab adalah bahasa Quran, kata mereka. Siapa tidak bangga? Bahasa pertuturan hari-hari dianggap bahasa syurga. Jadi bahasa komunikasi. Tidak payah buka terjemahan Quran. Mahir bahasa Arab, mudahlah faham Quran, kata mereka lagi. Ulama juga bangsa Arab. Negara Arab pusat belajar agama dan bahasa Arab – untuk faham Islam. 

Begitulah mereka – bangga dan bongkak tidak pernah kunjung hilang dari benak pemikiran segelintir bangsa Arab. Keterlaluan meninggikan bangsa dan bahasa mereka.

Mereka tersentak apabila si guru menyebut bahasa Arab tiada nilai di sisi Tuhan. Mulianya di sisi Tuhan bukan kerana bahasa. Jauh sekali bangsa. Malah, ramai ulama bukan dari kalangan bangsa Arab. Contohnya, Imam al-Ghazali. Asal Parsi, bukan Arab. Salman al-Farisi, sahabat Rasulullah saw juga bukan Arab. Baginda berkawan dengan semua bangsa. Tidak ada jurang walau Yahudi sekalipun.

Sebenarnya, Tuhan memuliakan semua bangsa. Asalkan soleh dan berbuat baik. Tuhan pasti murka jika manusia zalim, merompak dan menyalahgunakan amanah walau apa bangsa pun, apa agama pun. 

Dalam hadis riwayat Ahmad, baginda bersabda: Tidak ada kelebihan bagi Arab berbanding orang bukan Arab, tidak ada kelebihan orang bukan Arab ke atas Arab, tidak ada kelebihan orang merah ke atas hitam dan hitam ke atas merah melainkan dengan takwa.

Apa itu bangsa, apa itu kaum?

Namun, bangsa boleh jadi mulia di sisi Tuhan jika terma bangsa difahami dengan cermat. Kata bangsa atau syu’ub mencakupi struktrur sosial. Pembentukan bangsa (syu’ub) berlaku dalam hukum antara hubungan manusia dan alam – berdialektika pada bahasa, budaya dan hukum alam. 

Mengikut pemikir Islam, Syahrur dalam karya Dirasat Islamiyah Muassarah, terma syu’’ub adalah kesempurnaan kata qaumiyyah (kaum) dan ummat. Syu’ub adalah gabungan entiti beragama yang disatukan oleh kesedaran dan diikat kemaslahatan bersama sekaligus membentuk “negara”. Maka, syu’ub atau bangsa lebih bersifat universal. Tidak ada sifat eksklusif antara entiti lain – dimaknai dengan kesempurnaan nilai pada terma qaum – entiti kecil sebelum menjadi besar iaitu bangsa. 

Sebelum lahir kaum, manusia adalah satu umat. Maka Tuhan jadikan bahasa sebagai alat komunikasi. Tuhan mahu wujud beragam bahasa antara umat, antara pembicara dan pendengar. Bukan satu kaum hatta satu bahasa.

Kaum memiliki sifat sendirinya. Diguna oleh komuniti manusia sebagai alat pemikiran, komunikasi dan kebudayaan. Ini terungkap di dalam ayat 31:1–2 bahawa istilah kaum adalah kata kerja (qala). Ia disebut bahasa komunikasi (lughah musytarikah) antara dua pihak iaitu pembicara dan pendengar. 

Sekaligus ungkapan kaum Arab menunjukkan eksistensi manusia – kelompok manusia berbahasa Arab dan menghasilkan kebudayaan bangsa Arab. Kaum Arab samalah seperti kaum Inggeris, kaum Perancis atau kaum Turki – setiap bangsa lazimnya mempunyai beberapa kaum. 

Bangsa Arab terdiri daripada kewujudan beberapa kaum Arab – tidak membezakan keberadaan kaum lain. Tidak ada keistimewaan antara kaum-kaum Arab yang lain kecuali nilai. Kaum Arab tidak istimewa. Cuma masyarakat menggunakan bahasa Arab sebagai alat komunikasi dan berfikir.

Kesilapan pejuang bangsa

Sungguhpun begitu, mustahil untuk membuang kaum atau bangsa. Setiap bangsa mempertahankan bangsanya. Bahkan sehingga jadi fanatisme. Rasulullah juga tidak terkecuali. Namun baginda mengajar fanatisme positif kerana sejarah Arabisme – semangat perkauman dan agama itu sejarah disempurnakan oleh Rasulullah dan disusuli para sahabat. 

Inilah alasan kebanyakan pejuang bangsa bahawa kecintaan kaum atau kaum dianggap tidak terpisah dengan keimanan. Bahkan ia menjadi sebuah legitimasi syarie. Alasan mereka, baginda ada anjurkan.

Benar. Quran tidak nafikan. Ada dalam surah at-Taubah, ayat 128.

Kesilapan ‘pejuang bangsa’ adalah salah membaca sejarah dan identiti bangsa yang dicipta oleh baginda Rasulullah saw. Baginda mencipta eksistensi kaum Arab mengikut cita rasa Arab – tanpa menafikan eksistensi kaum – Arabisme di mata Rasulullah sekadar sejarah. Boleh jadi mana-mana kaum dan bangsa lain. Bukan bangsa Arab semata-mata.

Tuhan mengutuskan para nabi kepada kaum mereka. Bukan satu-satu kaum. Tidak ada pesan Tuhan khusus untuk kaum, baik Arab atau Melayu. Dan, walaupun Rasulullah saw diutuskan di Arab, pesan wahyu bersifat umum – jadi intipati semua kaum-bangsa. Arab sekadar model atau praktis kenabian. Bukan untuk bangsa dan kaum tertentu.

Bangsa Arab dan Arabisme tidak sama. Arabisme memiliki rasa keistimewaan ke atas kaum Arab. Inilah fanatisme yang melampau. Sebaliknya ia berbeza oleh Rasulullah saw. Walau memiliki fanatisme tetapi bukan yang bersifat melampau. Pesan wahyu walau dalam bahasa Arab, ia bukanlah kepada bangsa Arab tetapi semua manusia. Maka tidak ada asas keistimewaan mengatakan terdapat dakwaan kaum – entiti kecil sebelum jadi entiti besar bangsa – melebihi bangsa lain.

Memang bangsa Arab adalah prinsip kedaulatan Islam zaman awal sedang fanatisme lahir dari sikap cinta tanah air. Jelas tidak ada penentangan nilai ajaran baginda kepada bangsa (kaum) Arab dan Islam – cintakan tanah air. Dalam Islam, kaum digambarkan adalah kedaulatan dasar eksistensi Islam — prinsip kemanusiaan baik suku (kaum/bangsa) Arab dan suku lain. Islam agama untuk semua kaum, semua bangsa. 

Bangsa Malaysia, bukan kaum Melayu

Arabisme sesekali tidak mengurang kearaban Rasulullah. Baginda mengajar kesedaran menuju nasionalisme Arab dan fanatisme positif — menuntut usaha, kesungguhan dan kerjasama Arab dengan kaum lain dalam membangun peradaban humanis.

Rasulullah menyempurnakan kedaulatan itu pada bangsa-kaum Arab. Tidak pelik mengapa sesuatu budaya di Arab dianggap Islam kerana sikap Arabisme. Bukan pada ajaran Islam – relevansi semua bangsa-kaum di muka bumi mengikut ruang dan waktu.

Jelas, nabi faham konsep ini ketika mengagas keumatan di Mekah. Konsep rahmatan lilalamin kepada seluruh kehidupan manusia di bumi. Namun, implementasi baginda kepada orang Arab jazirah. Maka nasionalisme Arab muncul sebagai model Islam zaman awal. 

Bahasa sebagai medium dialog membentuk karakter khusus bagi kaum. Maka sebaik-baik bahasa adalah bahasa kemanusiaan.

Jadi bagaimana mengembangkan bahasa kaum tanpa terjebak pada kongkongan?

Kemanusiaan itu universal. Bukan dari bangsa-kaum Arab. Apatah lagi Melayu. Maka kita harus mengupas nilai kaum  sebagai pencorak kebudayaan dan pemikiran masyarakat. Kita harus melihat sejarah bangsa-kaum Arab dari lensa sejarah. Kerana kaum penentu natijah baiknya sesuatu bangsa. 

Maka, rakyat Malaysia bernaung di dalam terma syu’ub atau bangsa. Bukan satu-satunya kaum Melayu. Semua orang memilik hak kesaksamaan. Mereka hidup dalam satu tanah air demi kemaslahatan bersama. Bukanlah mengandaikan Islam itu Arab atau Islam itu Melayu. Itu mengada-ngada namanya. – 13 Disember, 2018.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen